Friday, March 19, 2010

KULIAH USTAZ ARSHAD-BAB HAJI

RUKUN HAJI DAN UMRAH

1. Niat Ihram Mengerjakan Haji

* NIAT BERIHRAM
Sebelum seseorang itu berniat ihram sama ada untuk mengerjakan haji atau umrah di Miqat Makani, maka hendaklah terlebih dahulu seseorang itu memaikai ihram. Sesiapa yang telah berihram dan berniat demikian maka haramlah baginya melakukan beberapa perkara yang diharuskan sebelumnya.

* MAKNA IHRAM
Ihram itu asal maknanya ialah mengharamkan atau melarang dan ihram dalam ibadat haji atau umrah ini ertinya ialah suatu keadaan yang ada pada orang yang sedang mengerjakan haji atau umrah bermula pada ketika berniat mengerjakannya dan berakhir pada ketika TAHALLUL. Jadi sebab dinamakan atau dinamakan IHRAM ialah diharamkan beberapa perkara ketika dalam ihram itu.

* PAKAIAN IHRAM
Pakaian ihram bagi lelaki ialah dua helai kain lepas, iaitu tidak dijahit dan tidak pula dijalin (tidak dicantum). Sehelai dipakai sebelah bawah untuk menutup aurat, iaitu antara pusat dan lutut dan sehelai lagi dibuat selendang. Kain ini disunatkan berwarna putih. Pakaian ihram untuk perempuan pula hendaklah menutup semua badannya kecuali muka dan tapak tangan yang hendaklah terbuka seperti dalam sembahyang.

* SUNAT - SUNAT IHRAM
Sunat-sunat ihram antara laian ialah :-
1. Mandi sunat ihram,
2. Mengerat kuku
3. Mencukur atau menanggalkan bulu ketiak, ari-ari, mengandam misai dan rambut,
4. Memakai minyak rambut dan bau-bauan
5. Memakai pakaian berwarna putih,
6. Sembahyang sunat ihram dan
7. Membanyakkan bacaan talbiah selepas berniat haji atau umrah

* MANDI SUNAT IHRAM
Sebelum memakai ihram dan berniat haji atau umrah di Miqat hendaklah melakukan mandi sunat ihram untuk membersihkan dan menyucikan badan dari segala kecemaran dan kekotoran, seperti yang dilakukan untuk mandi wajib. Lafaz niat mandi sunat ihram ialah : Yang bermaksud: "Sahaja aku mandi sunat ihram kerana Allah Ta'ala" (diingatkan dalam hati)

* SEMBAHYANG SUNAT IHRAM
Setelah selesai mandi dan membersihkan badan dari segala bulu dan mengerat kuku, mengandam misai serta meminyak rambut dan memakai bau-bauan, pakailah ihram. Setelah selesai memakai ihram kerjakanlah sembahyang sunat ihram dua rakaat. Lafaz niatnya ialah : Yang bermaksud: "Sahaja aku sembahyang sunat ihram dua rakaat kerana Allah Ta'ala" Surah yang dibaca selepas Fatihah dirakaat pertama ialah surah Al- Kafirun (Qulya aiyuhal kafirun ) dan di rakaat kedua selepas Fatihah ialah surah Al- Ikhlas (Qulhuallahu Ahad)
---------------------------------------------------------------------------
Terdapat 13 perkara pantang larang ihram

PANTANG LARANG SEMASA IHRAM

Pantang larang semasa ihram itu adalah seperti berikut:

1. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya bagi lelaki seperti memaikai songkok, serban dan sebagainya tetapi tidak menjadi larangan sekiranya berteduh dibawah naungan pokok atau payung.

2. Memakai pakaian bersarung sama ada berjahit atau sebagainya bagi lelaki, seperti seluar, baju,sarung kaki dan semua jenis pakaian berjahit yang dijadikan sebagai sarung.


3. Menutup muka dan tapak tangan bagi wanita

4. Memakai sarung tangan

5. Memakai bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghisapnya ke dalam hidung.

6. Memakai minyak rambut di kepala atau janggut.

7. Menanggalkan rambut atau menghilangkan mana-mana bulu di anggota badan,

8. Mengerat atau memotong kuku kaki atau tangan, walaupun sebahagian sahaja daripadanya,

9. Mengerat, memebang atau mencabut segala tumbuh-tumbuhan yang sedang hidup sama ada tumbuhan itu pokok kayu ataupun rumput, milik orang ataupun bukan.


10. Memburu binatang yang halal dimakan atau membinasakannya, sama ada dengan cara membunuh, memukul, menjerat atau menangkap atau dengan apa cara yang menyakiti binatang-binatang itu, malah memeranjatkan atau mengejutkan binatang itu pun haram hukumnya,

11. Bersetubuh atau berjima'

12. Melakukan perkara-perkara pendahuluan untuk bersetubuh seperti bercium-ciuman, kerkucup-kucupan yang menaikkan nafsu syahwat

13. Akad nikah sama ada ijab atau kabul untuk diri sendiri atau mewakili orang lain.

Friday, March 12, 2010

MAULIDUR RASUL-2010

MASJID KERIAH KAMPONG PAUH TERACHI 9Mac 2010-Sambutan Maulidur rasul pada tahun ini telah disambut dengan meriah sekali.Pada siang harinya orang-orang kampong telah mengadakan gotong royong membesihkan kawasan masjid dan sekitarnya.YB Samad- Adun Seri Menanti telah menyumbang seekor lembu untuk acara ini.

Pada sebelah petang penduduk kampong bergotong royong memasak lauk pauk seperti rendang lembu,masak lemak cili padi,sup gear box dan juga bubur kacang.
Selepas waktu Magrib acara maulid dimulakan dengan bacaan selawat beramai-ramai diketuai oleh Tuan Haji Maradzi (Nazir) dan Imam Tuan Haji Harun Bin Idris.Pihak Masjid Telah Menjemput Yang Berbahagia Ustaz Nasaruddin dari Yayasan Sofa-Rembau N.Sembilan.Intisari ceramah beliau ialah mengenai kepentingan meyambut maulidur rasul bagi membuktikan yang kita semua cinta pada Nabi Muhammad SAW.Beliau juga menyelar ada beberapa pendapat yang mengatakan maulidur rasul adalah bidaah.Itjmak ulamak Islam seluruh dunia berpedapat sambutan maulidur rasul dibenarkan oleh syarak.



Pukul 10.00 mlm ceramah selesai,Bilal Masjid En. Ali melafaz Iqamah untuk sembahyang Isyak yang diimamkan oleh Ustaz Nasaruddin.Selepas Sembahyang Isyak semua yang hadir dijemput menjamu selera .
Majlis ini telah selamat disempurnakan dengan jayanya dan selesai pada jam 11.00 malam.Pihak Masjid mengucapakan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung ,mahu pun tidak langsung dalam usaha menjayakan majlis ini,semuga Allah SWT memberi ganjaran dan balasan amin……