Wednesday, January 27, 2010

Ustaz Raihan Aziz - Kiamat 2012


Penceramah: Ustaz Raihan Aziz
Tajuk Kuliyah: Kiamat 2012
Terima Kasih kepada Salman Al Farisi atas sumbangan kuliyah ini.
Kesemua kuliyah yang didownload adalah dilarang sama sekali digunakan untuk tujuan komersial. Sila minta izin daripada penceramah jika ingin mengkomersialkan kuliyah yang didownload.

Sekiranya menghadapi kesukaran untuk mendengar kuliyah ugama, sila bersihkan "cache" dan "cookie" pelayar internet anda. Kuliyah dot Net mengsyorkan penggunaan pelayar internet (web browser) Firefox , Netscape dan Flock. Pastikan juga pelayar internet dilengkapi dengan plugin flash. Sebarang pertanyaan boleh diutarakan kepada admin [YM id: nayoe]

Saturday, January 16, 2010

CERAMAH MAALHIJRAH 16.01.2010

USTAZ M.JUSOF BHG 1

USTAZ M.JUSOF BHG 2

USTAZ M.JUSOF BHG 3

USTAZ M.JUSOF BHG 4

USTAZ M.JUSOF BHG 5

Wednesday, January 13, 2010

" HIDUP LEBIH MANIS TANPA GULA"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan terbaik kepada keluarga, dan masyarakat serta mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “ Hidup Lebih Manis Tanpa Gula".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Umat Islam adalah umat yang diwujudkan untuk menjadi umat terbaik dalam semua cara hidup termasuk dalam bidang menjaga kualiti kehidupan. Kualiti hidup yang baik membolehkan kita merancang dan melaksanakan aktiviti secara berkesan kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat. Malah kualiti hidup yang baik memberi kesempurnaan dan kekhusyukkan kita beribadah kepada Allah SWT. Makanan menjadi faktor penting dalam mempengaruhi kualiti hidup. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya.”

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita memakan makanan halal yang baik dan berzat. Menurut Ibnu Kathir dalam kitab Tafsir al-Qur’an al-A’zim, makanan yang baik ialah sesuatu yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal.

Bagaimana pun salah satu bahan makanan yang menjejaskan dan membahayakan kualiti hidup ialah gula. Penggunaan gula menjadi penyebab utama seseorang mengidap kencing manis. Penyakit kencing manis secara ringkasnya berpunca daripada kadar gula yang agak tinggi melimpah dalam darah menyebabkan jentera badan kita seperti pembuluh darah dan pankreas tidak dapat lagi mengawal penggunaan gula secara normal.

Berdasarkan kajian pakar perubatan, didapati kebanyakan pesakit kencing manis tidak menyedari dirinya mengidap kencing manis sehinggalah beberapa tahun sebelum penyakitnya di kesan. Apa yang membimbangkan pakar perubatan ialah lebih lama seseorang itu mengidap kencing manis, maka lebih tinggi risiko untuk mendapat penyakit –penyakit kronik lain seperti darah tinggi, kebutaan, kegagalan buah pinggang, stroke dan sakit jantung. Mereka yang mengidap penyakit kencing manis dan penyakit kronik yang lain juga mengalami kemurungan hidup kerana kualiti hidup mereka terjejas teruk dan penyakit ini akan diwarisi oleh keturunannya.

Mengikut laporan Persatuan Daibetes Malaysia pada tahun 2009 dianggarkan di seluruh dunia terdapat kira kira 250 juta pesakit kencing manis dan pengidap penyakit ini akan mencapai 350 juta orang menjelang tahun 2025. Di negara kita, sehingga tahun 2009 pesakit kencing manis kini mencecah 1.2 juta orang dan menjelang tahun 2020 pula dijangkakan terdapat seramai 5 juta orang rakyat negara ini mengidap penyakit kencing manis jika pengidap kencing manis dan mereka yang berpotensi tidak mengambil langkah pencegahan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Persoalan besar timbul ialah bagaimana kita boleh mengawal dan mengelak terkena penyakit kencing manis yang amat meletihkan manusia itu?. Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian langkah paling berkesan dalam pencegahan dan merawat kencing manis ialah mengurangkan pengambilan gula. Selain daripada pengurangan pengambilan gula, perlu banyak memakan sayur sayuran, buah buahan,ulam ulaman, mengelak daripada makanan yang berkolesterol serta lemak yang tinggi dan mengamalkan aktiviti latihan jasmani serta mematuhi nasihat pegawai perubatan. Ini bertepatan dengan saranan Saidina Umar R.A yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani:

Mafhumnya: "“Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda."

Mimbar amat bimbang tentang peningkatan kadar pengidap kencing manis di Negara ini yang dikaitkan dengan penggunaan gula yang melampau. Gula adalah antara keperluan asas yang digunakan dalam kehidupan seharian. Kebanyakan makanan atau minuman menggunakan gula bertujuan untuk mengubah rasa. Gula juga merupakan sumber tenaga kepada tubuh manusia. Menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia secara purata setiap rakyat Malaysia mengambil 27 sudu teh gula sehari berbanding keperluan yang menyihatkan sebanyak 10 sudu teh gula sehari termasuk yang ada dalam makanan.

Pada 1 Januari lalu harga gula telah dinaikkan 20 sen menjadikan harga gula sekarang di negara ini RM 1.65 sen sekilogram. Kita perlu ingat negara kita banyak membeli gula daripada luar negara bagi menampung keperluan gula yang semakin meningkat di Negara ini. Harga gula dinaikkan kerana menampung kenaikan harga gula mentah di pasaran dunia yang ditentukan oleh Negara pengeluar dan perlumbaan permintaan pengguna sendiri.

Dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat menghadapi kenaikan harga gula tahun 2010, pihak berkuasa masih lagi berusaha membantu menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram. Mimbar mengingatkan bahawa kita tidak pasti berapa lama kerajaan berkemampuan dan boleh bertahan dengan menyediakan subsidi dalam pelbagai barangan utama dan asasi rakyat ini.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, pusingan dan putaran kenaikan harga barangan sama ada di pasaran tempatan dan dunia kebanyakannya sentiasa naik dari setahun ke setahun kerana permintaan dan pertambahan pengguna dunia. Oleh itu selari dengan putaran kenaikan keperluan khususnya barangan impot seperti gula dan lain-lain keperluan utama, maka kita hendaklah sentiasa bersedia menghadapi kesan global kenaikan harga di pasaran dunia.

Hakikatnya mengurangkan penggunaan gula membantu kita mengawal dan mengelakkan penyakit yang berkaitan dengan penggunaan gula seperti kencing manis. Selain itu ia turut membantu meringankan beban kerajaan dengan mengelak mengimport gula melebihi keperluan sebenar dan membentuk pengguna yang berhemah serta bertimbang rasa.

Nikmat kesihatan adalah raja dalam kehidupan. Oleh itu, hiasilah hidup kita dengan keceriaan dan amalkan hidup yang manis tanpa gula. Mengakhiri khutbah, sekali lagi mimbar ingin menyeru jemaah dan umat Islam sekalian marilah kita membimbing anak-anak kita, keluarga kita dan pekerja kita meningkatkan kualiti hidup dan mengambil berat tentang kualiti makanan khususnya mengurangkan penggunaan gula secara berlebihan. Dalam usaha mengekalkan hidup sihat dan hidup ceria, marilah kita mengambil langkah- langkah berikut:-

Pertama : wajib memelihara kesihatan diri agar dapat menunaikan tugas dengan baik dan sempurna;
Kedua : Gula bertindak sebagai racun jika Penggunaannya berlebihan,
Ketiga :Amalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat iaitu hendaklah berjaga-jaga dengan makanan yang diambil; dan memperbanyakkan latihan jasmani; dan
Keempat : umat Islam dituntut bersederhana dalam semua perkara.

Sebagai peringatan tentang penggunaan makanan yang berlebihan dan melampau kita hayati firman Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 31:


Maksudnya: " Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (solat), dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas."

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
" HIDUP LEBIH MANIS TANPA GULA"
15 Januari 2010 / 29 Muharram 1431H)

Thursday, January 7, 2010

AKIDAH BENTENG KEKUATAN UMMAH

Para Jemaah dan Umat Islam Yang dirahmati Allah,

Subhanallah, Maha Suci Allah, pada hari Jumaat yang penuh berkat dan dalam masjid yang suci ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling baik di sisi tuhan ialah orang yang paling bertaqwa. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah “Akidah Benteng Kekuatan Ummah”.

Berdasarkan Rukun Islam yang pertama umat Islam wajib melafazkan perakuan keimanan mereka kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW secara tepat dan betul. Lafaz Lailahaillaah dan Muhammadur Rasulullah menunjukkan bahawa Allah SWT adalah tuhan dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi kita. Penggunaan lafaz Lailahaillaah adalah suatu bentuk perakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan menafikan tuhan-tuhan selain-Nya.
Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW dasar utama perjuangan baginda adalah menguatkan akidah yang mengambil masa selama 13 tahun di Makkah. Perjuangan menegakkan akidah yang berasaskan tiada tuhan melainkan Allah ini, bukan perkara mudah. Baginda terpaksa menjelaskan kepada masyarakat Musyrikin tentang konsep tuhan Yang Maha Esa itu. Persoalan besar timbul di sini ialah siapakah tuhan Yang Maha Esa itu.?

Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, tuhanku ialah Allah Yang maha Esa, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, ia tidak beranak, dan ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya”.

Berdasarkan penjelasan surah al-Ikhlas ini maka mimbar ingin mengulangi sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa Allah mempunyai sifat-sifat Yang Maha Esa, Dia tidak beranak dan juga tidak pula diperanakkan serta tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya. Dengan itu, umat Islam wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya tuhan dalam Islam.

Namun sejarah membuktikan bahawa manusia pada asalnya mentauhidkan Allah SWT tetapi terdapat di kalangan manusia telah terpesong menjadi sesat kerana terpengaruh dia’yah yang sentiasa dibayangi musuh Allah yakni syaitan dan hawa nafsu bahkan mereka mencipta pula pelbagai ajaran sehinggalah muncul agama yang pelbagai. Mereka terpesong sehingga menukar sifat Allah Yang Maha Esa itu sesuka hati mereka seperti mewujudkan tuhan yang pelbagai jantina, pokok besar sebagai tuhan, tuhan boleh makan dan minum dan manusia juga boleh menjadi tuhan. Malah mereka menyempitkan bidangkuasa tuhan itu. Berdasarkan identiti tuhan boleh bertukar ganti, maka konsep Allah Yang Maha Esa inilah yang membezakan akidah Islam dengan agama yang lain.
Ajaran Nabi dan Rasul misalnya sejak Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa ’alaihimussalam dan Nabi Muhammad SAW telah berusaha meluruskan akidah manusia agar berterusan menyembah Allah Yang Maha Esa. Islam melalui pesuruh-Nya Nabi Muhammad SAW hadir untuk meluruskan kembali kesesatan agar kembali meng-esakan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 171:


Maksudnya: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).”

Mimbar mengakui bahawa terdapat kalimah Allah di dalam kitab suci yang diterjemah ke bahasa Arab. Kalimah ini wujud kerana sesetengah penganut samawi termasuk Kristian Arab seperti di Lubnan, Mesir dan lain-lain yang muncul sebelum kedatangan Islam meyakini konsep keesaan Allah. Ia berbeza sama sekali dengan konsep tiga dalam satu (iaitu tiga tuhan dalam satu) seperti mana pegangan doktrin kebanyakan penganut pada hari ini.

Oleh itu, mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa kita perlu melihat apa yang berlaku di sebalik penggunaan lafaz Allah yang diperjuangkan oleh pihak tertentu. Jika kita melihat dengan teliti isu ini ternyata terdapat perkaitan kuat dengan isu pluralisme iaitu konsep perjuangan semua agama adalah sama. Malah segelintir umat Islam menyokong perjuangan ini yang menubuhkan fahaman Islam Liberal. Para pendi’ayah Islam Liberal berusaha kuat untuk memperlekehkan dan melonggarkan nama-nama khas Islam atau istilah-istilah yang menjadi tunjang kekuatan Islam agar akidah umat Islam mudah goyah dan rapuh.

Selain itu, dalam usaha mengelirukan umat Islam, mereka menterjemahkan Kitab Bible sebagai al-Kitab, al-Quran diterjemahkan sebagai Bacaan dan mencipta Qur’an baru Furqaanul Haq yang diterbitkan di Amerika Syarikat. Semuanya ini adalah agenda pendi’ayah-pendi’ayah dalam usaha mengelirukan dan melupuskan akidah umat Islam di dunia.

Jemaah dan Umat Islam Yang Dirahmati Allah,

Islam agama yang suci mempunyai standard piawaian hukum hakam atau peraturan tertentu dalam menjaga kesucian nama Allah dan kitab sucinya. Orang-orang Islam sendiri pun tertakluk kepada standard piawaian penjagaan kesucian nama Allah dan al-Quran. Kita amat bimbang pihak lain menyalahgunakan kalimah suci itu. Kita pernah mendengar dan membaca dalam laporan media cetak dan media elektronik bagaimana pihak–pihak tertentu memijak-mijak al-Quran, helaian al-Quran dimasukkan dalam lubang tandas, helaian al-Quran menjadi kertas pembungkus, dan nama-nama Allah ditulis di alas-alas selipar dan kasut serta dipijak-pijak.

Mimbar amat bimbang jika pihak–pihak terlibat menyalahgunakan penggunaan lafaz Allah dan mengambil kesempatan menghina agama lain, maka dikhuatiri akan menimbulkan pertikaian agama dan mengancam keselamatan negara. Bagi mewujudkan suasana aman dan kehidupan harmoni yang telah wujud di negara ini, maka mimbar menyeru umat Islam dan rakyat di negara ini supaya mengelak daripada menimbulkan isu-isu sensitif dan kemarahan sesuatu agama dan kaum. Apatah lagi, penggunaan lafaz Allah telah ribuan dan beratus-ratus tahun telah digunakan oleh masyarakat Islam akar umbi di negara ini.

Dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini, umat Islam hendaklah berpendirian selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-82 yang telah bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008. Kandungan keputusan itu yang berbunyi: “ Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unusr-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”.

Sehubungan itu, mimbar ingin menasihatkan semua pihak di negara ini agar dapat bertenang berhubung perkara ini dan memberi peluang perkara ini diselesaikan melalui proses perundangan.

Sidang jemaah dan umat Islam harus sedar bahawa cabaran yang dihadapi bukan sahaja penggunaan lafaz Allah, mungkin selepas ini akan timbul banyak lagi cabaran yang berniat mengugat kekuatan dan kesucian Islam di negara ini. Dalam usaha menghadapi cabaran yang mengugat akidah ini, maka mimbar menyeru umat Islam agar mendalami dan memperkuatkan akidah dalam keluarga sendiri agar dapat mengenalpasti siapakah Allah dan sifat-sifat sebenar Allah Yang Maha Esa. Oleh itu para penegak Islam dan ibu bapa perlu lebih peka, lebih perihatin dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid dan akidah kepada anak-anak dan masyarakat Islam agar tidak terjebak dengan di’ayah sesat dalam pemahaman tentang Allah SWT.

Jemaah dan Umat Islam Yang Dirahmati Allah,

Kesimpulannya, akidah menjadi benteng kekuatan ummah. Oleh itu, mimbar ingin menarik perhatian sidang jemaah sekalian berhubung dengan konsep ketuhanan dalam Islam iaitu:

Pertama: kalimah tauhid atau kalimah syahadah adalah ikrar peng-esaan tuhan yang maha Esa, tidak memadai dengan hanya menyatakan perakuan tetapi kita mesti membuktikan perbuatan dan tindak tanduk seharian selari dengan hukum Allah. Kadangkala kita marah pihak lain menghina Islam tetapi terdapat di kalangan kita pun tidak beramal dengan akidah dan syariat Islam.
Kedua: kalimah syahadah yang dijadikan asas akidah adalah kalimah paling selamat untuk mengelakkan dan memelihara kita terlibat dengan syirik.
Ketiga: al-Qur'an dan as-Sunnah dijadikan bahan rujukan mutlak untuk mengetahui dan memahami akan sifat-sifat Allah kerana maklumat-maklumatnya yang lebih lengkap, lebih konsisten dalam mempertahankan ciri-ciri kesejagatan Allah itu, dan
Keempat: mempertahankan konsep ketuhanan bermaksud mempertahankan pengertian mengesakan Allah yang sebenar oleh mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT.



Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam.”
( Surah Ali Imran:64)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ AKIDAH BENTENG KEKUATAN UMMAH ”
(8 Januari 2010/ 22 Muharram 1431H)