Artikel ini merupakan Himpunan penulisan Dr Mohd Asri Bin Zainul
Abidin yang terdahulu dicadangkan untuk bacaan bersempena bulan Rejab.
Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk
antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh
direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak
perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama
agama.
Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak
berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam
menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan
kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.
Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada
masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama
hadis terhadap kedudukannya.
Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.
Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang
dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa
usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh
baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta
ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang
lain (menggunakan nama orang lain).
“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat
duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).
Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang
dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta
menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau
perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana
baginda tidak ada kaitan dengannya.
Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak
pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak
pernah melakukannya.
Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan,
atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.
Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah
hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa
oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu
palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan
kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi
s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis,
m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).
Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi
adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan
pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan
pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.
Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk
dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut:
“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia
masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar
al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi
setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas
baginda.”
Mendengar
Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan
namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s.
270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).
Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya
tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu
juga adalah sesuatu yang haram.
Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada
sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk
sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn
al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)
Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab
dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan
dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah,
Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn
Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s.
95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh
Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi
di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib
(iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam
al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).
Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada
beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah
puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan
pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah
(kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.
Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka
ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis,
m.s. 99)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi
ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan
disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis
mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu
adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.
Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada
malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga
hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah
palsu).
Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu
memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut
adalah palsu.
Gambar hiasan
Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah
melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni
semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang
bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan
lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan.
Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari
ajaran Nabi s.a.w.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan
Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para
sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu
Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita
lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”
Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang
umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada
manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari
golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa
yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga
bercanggahan dan bertentang maknanya.
Ibadat
Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar
yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan
diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan
dalam nas.
Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah
bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu
bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam
neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383,
cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.
Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah
dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali
kepada agama yang tulen.
Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.
Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk
kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada
golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka
kemudian menyandarkannya kepada agama.
Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan
kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata
al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis
al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama
ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”
Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.
Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka
menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada
kaitan dengannya.
Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan
bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis,
m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).
Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media
elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis
memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak
dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.