(7 JANUARI 2011 / 2 SAFAR 1432H)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “BUDAYA ILMU ASAS KECEMERLANGAN GENERASI ”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Minggu ini adalah minggu pertama anak-anak kita kembali ke alam persekolahan. Berbagai ragam dapat kita lihat pada diri anak-anak kita setelah berbulan mereka bercuti dari alam persekolahan ini. Namun inilah rutin biasa yang mereka perlu tempuhi dan membudayakannya demi membina generasi yang cemerlang di masa akan datang.
Dalam usaha membina insan yang cemerlang, maka hendaklah dihubungkait dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak berwajib iaitu sekolah dan ibu-bapa mestilah saling berkerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6:
Maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar terdapat perkaitan yang sangat kuat bahawa penglibatan ibu-bapa dalam memajukan pendidikan anak-anak. Dengan demikian ibu-bapa tidak boleh menyerah secara bulat bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru sahaja dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak. Ibu-bapa hendaklah memain peranan dan kerjasama rapat dengan pihak sekolah.
Ibu-bapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak dan kecemerlangan anak-anak. Bila tumpuan ibu-bapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu-bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam rahim ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai usia baligh. Dengan demikian mimbar menasihatkan para jemaah sekalian bahawa dalam tempoh kritikal ini, ibu-bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun.
Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu: Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang. Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka. Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat. Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.
Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan gejala rosak akidah, hilang kemulian akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka. Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardawi, bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya atau tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.
Satu kisah pada zaman Rasulullah SAW, seorang sahabat yang berjemaah bersama baginda kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Baginda bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum sempat berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Baginda terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu bapa sendiri. Dalam hal ini ibu-bapa perlulah membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anak. Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka mimbar menasihatkan ibu bapa sekalian menetapkan sekurang-kurangnya 6 petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut: Pertama: Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara konsisten,Kedua: Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari,Ketiga: Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin setiap hari, Keempat: Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu, Kelima: Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak sekurang-kurangnya mencapai 80%, dan Keenam: Mengadakan perjumpaan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila anak-anak telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat.
Walaupun kadang-kala berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibu-bapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sebuah sekolah. Namun sebagai langkah positif, maka ibu-bapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan yang besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar mereka masing-masing. Oleh itu mimbar berharap janganlah kita mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat berlapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar mereka. Kita yakin tindakan guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak agar sedia berubah menjadi insan yang berguna.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam. Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka.
Dalam masa yang sama mimbar juga menyeru para jemaah sekalian marilah sama-sama kita tunaikan tanggungjawab sosial kita dengan membantu dan membela nasib pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak yatim dan anak-anak saudaramara kita yang susah, supaya mereka juga dapat menghadapi sesi persekolahan yang baru ini dengan selesa dan sempurna. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:
Maksudnya: “ Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.“.
.
No comments:
Post a Comment