Anti Hadith merupakan antara ajaran sesat yang menular
dalam masyarakat Islam sejak beberapa tahun yang lalu. Pengaruh anti Hadith ini
semakin luas apabila wujudnya pihak-pihak tertentu yang mendukung kepercayaan
dan kefahaman mereka di samping wujudnya buku-buku, artikel-artikel dan seminar
yang berkaitan.
Fahaman sebegini juga pernah muncul
di beberapa buah negara lain seperti Indonesia, Singapura, India, Pakistan,
Iran, dan negara Arab. Sebenarnya, ulama Islam seperti Ibn Hazm pada abad 4-5 H
dan beberapa ulama pada zaman moden seperti Muhammad al-Ghazali dan Yusuf
al-Qardawi pernah membincangkan tentang fahaman ini.
Fahaman anti Hadis ini sebenarnya
mempunyai pegangan yang tidak mempercayai Hadis sebagai sumber epistemologi
Islam selepas al-Qur’an. Penghujahan golongan yang berfahaman ini bahawa al-Qur’an
sebagai kitab yang lengkap dan sempurna telah menolak sumber-sumber lain
sebagai sumber perundangan Islam.
Untuk menguatkan hujah mereka,
beberapa ayat al-Qur’an cuba diselewengkan tafsirannya. Kebanyakan penyelewengan
mereka melibatkan soal akidah, siasah, dan fiqh.
Dalam soal akidah, golongan ini
meletakkan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. sekadar pengikut Nabi Ibrahim a.s.
Menurut mereka Nabi Ibrahim adalah pesuruh Allah S.W.T. bukannya Nabi Muhammad
s.a.w. Sehubungan itu, mereka mendakwa solat, puasa, zakat, dan amalan-amalan
ibadah lain harus mengikut Nabi Ibrahim a.s.
Antara ayat yang diselewengkan oleh
mereka ialah firman Allah yang bermaksud, “Dan berjihadlah kamu pada jalan
Allah dengan jihad yang sebenarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali
tidak menjadikan kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang
tuamu Ibrahim” (Surah al-Haj ayat 78).
Mereka mentafsirkan ayat ini sebagai
satu arahan Allah S.W.T. agar mengikut agama Nabi Ibrahim a.s. Padahal yang
sebenarnya ayat ini menjelaskan bahawa Allah S.W.T. tidak menyusahkan dan
menyempitkan manusia dalam persoalan agama. Allah S.W.T. menyebut agama bapa
kamu Nabi Ibrahim a.s. sebagai menunjukkan contoh kesukaran yang pernah berlaku
dalam agama itu.
Ayat 78 daripada Surah al-Hajj ini
sepatutnya diterjemahkan begini, “Dan
berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dialah
yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya), dan Dia tidak
menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara
agama seperti agama bapa kamu Ibrahim.”
Golongan anti Hadis juga
menyelewengkan ayat-ayat al-Quran berkaitan politik, terutamanya yang berkaitan
dengan kepimpinan ulama. Mereka mendakwa ulama dahulu dan kini semuanya palsu,
menyelewengkan ajaran Allah S.W.T, bertopengkan amalan Rasul serta telah
mereka-reka hukum. Mereka mendakwa ulama mencipta hukum halal-haram, sesat,
undang-undang kekeluargaan Islam, dan sebagainya walhal semua itu tiada dalam
al-Qur’an. Bagi mereka ulama sekutu Allah S.W.T.
Sikap buruk sangka dan kebencian
golongan ini terhadap para ulama amat menebal. Hal ini menyebabkan mereka
sanggup memfitnah para sahabat dengan cerita daripada sumber yang tidak
berasas.
Mereka berhujah dengan firman Allah
S.W.T. yang bermaksud, “Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain
Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?
Sekiranya tiada ketetapan yang menentukan (daripada Allah) tentulah mereka
telah dibinasakan dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh
azab yang amat pedih” (Surah al-Syura ayat 21).
Sembahan yang dimaksudkan oleh
mereka ialah ulama dan para sahabat kerana memandai-mandai dalam membuat hukum.
Sebenarnya ayat itu telah diselewengkan terjemahan dan tafsirannya. Ayat 21
daripada Surah al-Syura ini sepatutnya diterjemahkan, “Bahkan mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana
bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh
Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus
(daripada Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang
tertentu), tentulah dijatuhkan azab serta-merta kepada mereka (yang berbuat
demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.”
“Mereka mempunyai sekutu-sekutu”
dalam ayat itu ialah orang kafir Mekah. Sekutu di sini bukan sekutu Allah
S.W.T. tetapi sekutu golongan kafir. Merekalah yang sering mengandaikan
persoalan agama untuk mengelirukan orang ramai. Dalam ayat ini juga Allah
S.W.T. menyatakan yang Dia akan mengenakan azab seksa serta merta mungkin untuk
memberi peluang kepada mereka supaya bertaubat.
Seterusnya mereka selewengkan ayat
tentang masalah aurat wanita. Mereka menafikan aurat wanita termasuk rambut
ataupun kepala. Malah mendakwa Islam sebenarnya tidak mewajibkan wanita
bertudung kepada. Golongan ini percaya bahawa perintah pertama yang berkaitan
etika pakaian wanita dalam al-Qur’an ada disebut dalam ayat 26 Surah al-A‘raf.
Mereka menyelewengkan maksud ayat tersebut dengan tafsiran “Allah telah
menyatakan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian
aib”.
Bagi mereka aib itu tidak termasuk
bahagian kepala wanita. Mereka membuat terjemahan sendiri tanpa bersandar
kepada Hadis dan ijmak ulama. Padahal maksud sebenar ayat tersebut ialah “Sesungguhnya
Kami telah menurunkan kamu pakaian untuk menutupi auratmu dan perhiasan”.
Berdasarkan ayat 26 Surah al-A‘raf di
atas, pakaian dalam Islam adalah untuk menutup aurat dan perhiasan yang dipakai
oleh wanita itu. Jadi, menurut pendapat majoriti ulama aurat dalam konteks ini
meliputi keseluruhan tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan.
Dalam ayat yang lain Allah S.W.T.
berfirman “‘walyadribna bi khumurihinna’.” Dalam ayat ini Allah meminta
para wanita melabuhkan tudung mereka ke paras dada. Penutupan di sini kerana
bahagian dada terdapat perhiasan.
Golongan anti Hadis ini terus
menyelewengkan maksud ayat-ayat yang berkaitan hijab. Menurut mereka, perintah
berhijab dalam ayat-ayat al-Qur’an tidak mewakili hukum atau peraturan pakaian
wanita Muslimah. Mereka mendakwa bahawa amalan menutup kepala ini sebenarnya
telah lama berkuat kuasa beribu-ribu tahun sebagai tradisi. Ulama Islam
mendakwa hijab sebagai pakaian Muslimah hakikatnya tradisi sebelum Islam lagi.
Jelas di sini Golongan Anti Hadis
ini cuba mentafsirkan ayat al-Qur’an mengikut seleranya sendiri berdasarkan
terjemahan yang lemah. Mereka sebenarnya tidak mempunyai kepakaran dalam bahasa
al-Qur’an, tidak memahami uslub ayat dan balaghahnya. Jadi, memahami al-Qur’an
berdasarkan terjemahan yang sedia ada mengakibatkan fahaman mereka tersasar
daripada maksud sebenar.
Tegasnya, fahaman golongan anti Hadis
tergolong dalam pembawa ajaran sesat. Mereka sengaja memutarbelitkan maksud
ayat-ayat al-Qur’an untuk kepentingan mereka sekali gus mengelirukan orang yang
jahil. Sayidina Umar al-Khattab r.a. pernah berkata, “Sesungguhnya aku
ingatkan kamu terhadap dua jenis manusia. Pertama, manusia yang mentakwilkan
al-Qur’an tanpa takwilan yang sebenarnya. Kedua, manusia yang menginginkan
milik (kepunyaan) saudaranya”.
Menyedari penyelewengan golongan
ini, umat Islam seharusnya berhati-hati agar tidak terperangkap dengan jerat
mereka. Pada masa yang sama, umat Islam seharusnya mengetahui metodologi
disiplin Islam seperti Hadis, tafsir, fiqh, usul fiqh, dan usul tafsir. Tetapi
yang paling utama dalam konteks ini adalah menguasai bahasa Arab. Inilah asas
yang perlu ada pada seseorang untuk membolehkannya mentafsirkan ayat-ayat
al-Qur’an.
http://hshukeri.blogspot.com/2014/03/golongan-anti-hadith-selewengkan.html
No comments:
Post a Comment