Haji bukannya amalan ritual biasa yang bersifat fardu (individu) semata-mata namun ia berbentuk jamaie (berkumpulan). Di Tanah Suci, kita diuji dengan pelbagai cara seperti cabaran emosi bagi melihat keimanan hamba-Nya.Jemaah haji perlu memantapkan diri dengan ilmu sejarah nabi supaya penghayatan kita lebih kukuh di Makkah. Yang paling penting mereka perlu melengkapkan satu persatu rukun haji dan kegagalan mengerjakan salah satu daripadanya secara sengaja atau tidak akan menyebabkan terbatal hajinya.Antara rukun haji adalah niat, wukuf di Arafah, tawaf (rukun ini juga dikenali sebagai tawaf ifadah), saie, bercukur atau bergunting dan tertib.Selain itu, haji terbahagi kepada tiga jenis iaitu Haji Tamatuk, Haji Ifrad dan Haji Qiran yang berbeza setiap satunya.Haji Tamatuk bererti bersenang-senang iaitu mengerjakan umrah dahulu dalam bulan haji dan selepas selesai mengerjakan umrah mereka tidak terikat lagi dengan pantang larang ihram.Hanya apabila sampai waktu, barulah berihram untuk mengerjakan haji. Haji Tamatuk dikenakan dam iaitu menyembelih seekor kambing atau berpuasa 10 hari (tiga hari di Makkah dan tujuh hari di tanah air). Allah berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa mengerjakan ibadah haji, (dia boleh melakukannya kemudian wajiblah dia menyembelih dam yang mudah didapati. Jika dia tidak dapat mengadakan (dam), hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing), semuanya itu sepuluh hari cukup sempurna.” (Surah al-Baqarah ayat 196).Dam yang dikenakan itu bukan merujuk kepada kesalahan tetapi ketetapan syarak. Haji Ifrad maknanya berasingan iaitu mengerjakan haji dan umrah secara berasingan di mana mengerjakan haji dahulu hingga selesai dan mengerjakan umrah dalam tahun itu atau dikerjakan umrah sebelum menjelang bulan haji. Jemaah perlu berniat di Miqat sebelum masuk ke Makkah (jika dari Malaysia naik kapal terbang Miqatnya di Qarnul Manazil) sebelum kapal terbang sampai di Jeddah. Haji Ifrad tidak dikenakan dam.Manakala Haji Qiran bererti bersama-sama, jadi ibadat haji dan umrah dikerjakan secara serentak dan haji jenis ini wajib dikenakan dam. Sewaktu di Miqat jemaah perlu berniat serentak haji dan umrah. Berhubung dengan kebolehan mengerjakan haji Qiran ini Rasulullah bersabda: Dari Ibnu Umar r.a berkata, bahawa Rasulullah bersabda: Sesiapa mengerjakan haji bersama umrah (Qiran) maka sah dia kerjakan satu tawaf dan satu saie sahaja untuk kedua-dua haji dan umrah itu,” (Riwayat Tarmizi). Perbezaan ketara dalam melakukan ketiga-tiga haji itu adalah, bagi cara Ifrad, umrah dilakukan di luar bulan haji sama ada dilaksanakan dahulu dalam tahun yang sama ataupun selepas bulan haji. Manakala bagi cara Tamatuk dan Qiran pula umrah dilakukan dalam bulan haji. Manakala dam yang disebutkan di atas adalah adalah darah sembelihan yang merujuk kepada binatang tertentu. Penggantinya adalah makanan atau puasa yang wajib ditunaikan oleh orang yang meninggalkan satu atau perkara wajib dalam ibadat (haji dan umrah) ataupun perkara yang dilarang semasa berihram atau melakukan Haji Tamatuk dan Qiran. Dam turut dikenali sebagai fidyah.Antara sebab-sebab seseorang dikenakan dam adalah:1. Meninggalkan perkara-perkara wajib haji dan umrah.2. Melakukan perkara-perkara yang dilarang sewaktu dalam ihram.3. Memilih Haji Tamatuk dan Qiran.4. Tidak dapat wukuf di Arafah.5. Tertegah (ihsar) perjalanan ke Makkah sedangkan seseorang itu sudah berihram.6. Meninggalkan tawaf wadak bagi mereka yang tidak uzur syar’ie.Syarat binatang yang boleh dijadikan dam adalah (berkaki empat ) seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.
Oleh Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment