Sila klik butang play dengar ceramah.
Penceramah: Ustaz Zahidi
Tajuk Kuliyah: Kasih Akan Harta
Kitab: Penawar Bagi Hati
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Islam adalah agama yang syumul dan lengkap. Jika manusia dapat mengikuti
agama itu dengan khusyuk dan tertib, ia akan membawa kepada kecemerlangan.
Tetapi sejak kebelakangan ini kita dilanda wabak yang merbahaya iaitu
perselisihan pendapat atau ikhtilaf terbuka di antara ulamak dengan ulamak,
orang awam dengan ulamak atau orang politik dengan ulamak mengenai isu
agama Islam. Apa yang lebih memeranjatkan kita lagi ialah peningkatan orang
bukan Islam dan orang yang jahil agama tanpa segan silu mengeluarkan
pendapat terbuka tentang Islam.
Berdasarkan pemerhatian mimbar, ikhtilaf di kalangan pihak-pihak
tersebut telah menimbulkan suasana kelam-kabut dalam masyarakat Islam
sekaligus menjejaskan nama baik agama Islam serta penganutnya. Mimbar ingin
mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian, jangan memperbesar-besarkan
isu khilafiah, isu remeh-temeh seperti tahlil, maulidurasul, talqin dan
sebagainya. Isu ini adalah isu lama dan ulamak yang bijak lagi waras tidak
memperbesar-besarkannya.
Sabda Rasulullah SAW daripada ‘Iyadh bin Himar:
Mafhumnya: “ Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang
memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada
seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan
tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang
lain”. (Riwayat Muslim)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Merujuk kepada sejarah Islam, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Hanafi dan
Imam Hanbali serta aliran mazhab yang lain mempunyai keistimewaan dan
kelebihan masing-masing. Anak-anak murid dan pengikut-pengikut mereka
semakin bertambah dari hari ke hari. Tetapi mereka telah menunjukkan sikap
mulia seperti saling hormat menghormati atas semangat setiakawan yang tinggi.
Apa yang jelas, Islam telah meletakkan adab-adab yang tinggi ke atas
setiap muslim dalam proses pergaulan sesama muslim termasuklah ketika
berselisih faham mengenai isu yang kurang jelas. Namun begitu kita ditegah
menghina ulamak tertentu walaupun berbeza pandangan atau pendekatan.
Ulamak dahulu adalah umat yang terbaik dan mendapat pengiktirafan dari
masyarakat ketika itu.
Apa yang menyedihkan sekarang ialah perselisihan pendapat yang
membawa krisis ulamak merugikan negara dan ummah. Keadaan ini diburukkan
lagi apabila ada pihak yang anti-ulamak menulis atau membuat kenyataan
secara sedar, jelas dan berterusan dengan niat dan tindakan untuk menghina
Islam.
Mimbar kesal dengan adanya percubaan pihak-pihak tertentu kononnya
atas dasar kebebasan bersuara, berfikir dan mengeluarkan pendapat, maka
sewenang- wenangnya mahu menjadikan Islam dan segala hukum syariat Islam
sebagai suatu perdebatan yang bebas mengikut sesuka hati sesiapa sahaja dan
mengenepikan asas-asas kaedah dan disiplin ilmu yang betul dalam Islam.
Kedangkalan ilmu sesetengah pihak bukan sahaja merosakkan imej dan
kesucian agama Islam, malah akan menimbulkan kekeliruan yang merbahaya di
kalangan masyarakat awam khususnya masyarakat Islam di negara ini. Mimbar
berpendirian jika agama Islam dibiarkan didebat secara bebas, angkuh dan
sombong bongkak seperti yang ditulis atau dilaungkan oleh pihak tertentu tanpa
mengikut disiplin ilmu Islam yang betul, maka kewibawaan seluruh institusi
Islam di negara ini akan terdedah kepada cercaan dan penghinaan.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Mimbar mendapati budaya pihak tertentu yang terus menyerang ulamak dalam
hasil tulisan mereka secara menghina dan biadap adalah suatu perkara yang
tidak dapat diterima. Persoalannya kenapa golongan ulamak menjadi sasaran
serangan yang berterusan oleh pihak-pihak ini.?
Ulamak yang beramal dengan Islam sebenar tidak pernah mendakwa diri
mereka sebagai manusia sempurna. Namun jika sekalipun pendapat ulamak
mahu dikritik, kenapa perlu mereka dihina dan dicerca dengan mempermainmainkan
dan memerendah-rendahkan peribadi mereka dengan kata-kata
menghina. Menyedari hakikat ini, umat Islam yang terlibat dengan perselisihan
pendapat itu perlu menjaga adab-adab berikut:
Pertama: Bersifat lapang dada menerima kritikan yang membina. Sikap
sedemikian dapat menghindarkan kita daripada bersifat sombong dan bangga
diri atas kelebihan diri yang ada.
Kedua: Memilih perkataan yang terbaik dalam sesi perbincangan.
Ketiga: Menjaga tingkahlaku dan tuturkata dengan lebih bersopan. Hindarkan
daripada caci maki dan nafsu jahat sehingga tergelincir daripada kebenaran.
Insaflah, ikhtilaf boleh disalah tafsir atau dimanipulasikan oleh suatu
perancangan berniat jahat dan seolah-olah ada suatu usaha tersusun dari pihakpihak
tertentu untuk menyerang Islam dan institusi ulamak di negara ini.
Sebagai langkah pengawalan, marilah kita memelihara perkara-perkara berikut:
Pertama, walaupun Islam membenarkan ikhtilaf tetapi wajib kita menjauhinya
sekiranya ia tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar.
Kedua, perkara yang boleh diijtihad itu perlu mematuhi beberapa syarat bagi
memastikan keaslian perbincangan tersebut.
Ketiga, mengikuti akhlak para salafusoleh dalam pergaulan sesama mereka
ketika terjadi ikhtilaf.
Keempat, dilarang menuduh atau memfitnah sesama Islam kecuali disertai
ilmu dan keadilan.
Kelima, tidak mencampur adukkan antara masalah ijtihadiyah dengan masalah
iftiraq (perpecahan).
Maksudnya: “Oleh sebab itu jika mereka berhujah membantahmu maka
katakanlah: Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang
yang mengikutku. Dan bertanyalah kepada orang yang diberi Kitab, dan orang
yang buta huruf: Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang
aku bawa itu)? Jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah
medapat petunjuk; dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya
kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah),
Allah Maha Melihat (tingkah laku) sekalian hamba-Nya.” (Ali Imran: 20)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-siri Khutbah Jumaat
“MENJAGA ADAB KETIKA PERSELISIHAN PENDAPAT”
(13 NOVEMBER 2008 / 25 ZULKAEDAH 1430H)
No comments:
Post a Comment