Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat serta umat Islam yang dikasihi sekalian. Marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Tajuk khutbah yang akan dibicarakan pada hari ini ialah: “Harga Sebuah Kehidupan”.
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian,
Pada hari ini, darjat kehidupan manusia terdiri daripada pelbagai golongan iaitu golongan kaya, golongan pertengahan, golongan miskin dan golongan yang terpinggir. Berdasarkan pemerhatian mimbar, sudah menjadi adat kehidupan golongan yang berpendapatan tinggi dan berpangkat mendapat sanjungan, penghormatan dan di pandang hebat oleh masyarakat. Oleh itu untuk mengejar nilai kehidupan, ada di kalangan mereka sanggup merasuah dan membeli gelaran-gelaran tertentu. Kadang kala golongan ini yang dilihat mempunyai harga diri yang tinggi sebenarnya mempunyai ruang terbuka luas mengumpul kekayaan dan maju ke hadapan secara tidak sah.
Adapun golongan miskin dan terpinggir pula kelihatan kurang mendapat sanjungan sebagaimana yang diperolehi golongan kaya atau atasan. Manakala golongan bawahan sering mendapat laluan sukar dan terpaksa berhempas pulas mencari kesenangan hidup. Ini adalah lumrah kehidupan. Persoalan besar timbul ialah apakah perbezaan taraf hidup itu menentukan harga atau nilai kehidupan manusia.
Kita sering mendengar, malah dipaparkan dalam media massa mengenai kisah-kisah sedih penganiayaan, penzaliman, perhambaan terhadap golongan bawahan seperti amah atau pembantu rumah. Ini adalah salah satu contoh harga atau nilai hidup yang dialami golongan bawahan atau miskin dalam usaha mencari rezeki halal dan sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan. Mimbar amat sedih, golongan yang mempercayai diri yang bernilai tinggi bersikap sombong dan bongkak sanggup melakukan kezaliman tanpa alasan yang benar.
Firman Allah SWT dalam surah asy-Syura ayat 42:
Maksudnya: “Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Sidang Jumaat Dan Umat Islam Yang Dikasihi Sekalian,
Sekali imbas, dunia dirasakan tidak selamat kerana golongan yang kuat menindas yang lemah dan terdapat golongan yang kaya tamak haloba memburu kekayaan sama ada secara sah atau rasuah. Laporan dan pendedahan terbaru Ketua Audit Negara mengenai penggunaan wang rakyat membuktikan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu menunggu peluang untuk menyalahguna dan mengaut keuntungan daripada wang rakyat.
Mimbar ingin mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian apakah ini nilai atau harga sebenar dalam kehidupan kita?. Hakikatnya, Allah SWT telah banyak memberikan kita kesempatan iaitu sejak dilahirkan sehingga saat ini. Allah telah memberikan kita segala-galanya tanpa kita pinta. Tetapi jarang kita mensyukurinya kerana sesetengah dari kita merasakan itu adalah hasil jerih payah dan penat lelah kita sendiri.
Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya:
“ Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenang budi yang diberi dianggap sebagai kaufur nikmat.”( Hadtih Riwayat At-Tabrani)
Kita bertanggungjawab dan perlu bersifat amanah sepenuhnya terhadap kehidupan manusia atau nasib diri kita sendiri. Mimbar percaya terdapat dua langkah meningkatkan nilai dan harga diri kita. Langkah pertama adalah dengan mengenali dan mengembangkan potensi yang ada di dalam diri kita sendiri. Langkah kedua adalah dengan memahami matlamat hidup kita di dunia ini supaya segala amalan yang kita lakukan lebih terarah dan selari dengan kehendak hukum syarak.
Mimbar ingin mengingatkan bahawa kadang kala sifat khianat dan perbuatan buruk menjatuhkan integriti dan harga diri manusia. Sifat khianat ini biasanya wujud pada golongan yang kurang nilai keimanannya. Lebih jelas lagi, sifat khianat ini merupakan antara ciri-ciri orang munafik yang disifatkan sebagai orang yang melanggar janjinya dan menodai kepercayaan yang tersemat dalam jiwanya. Malah Allah SWT telah melabelkan orang yang khianat itu sebagai sejahat-jahat makhluk yang amat dimurkai Allah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 55-56:
Maksudnya: “ Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi Allah ialah orang yang kafir, sebab itu mereka tidak (mahu) beriman. Iaitu orang yang kamu telah ikat perjanjian dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian pada setiap kali, sedang mereka tidak takut (akibatnya).”
Berdasarkan ayat di atas tadi, jelas di sini bahawa sifat khianat merupakan sifat yang amat keji dan dimurkai di sisi Allah. Ini kerana sifat tersebut amat merbahaya jika dibiarkan merebak dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Akibat sifat keji tersebut bukan hanya menimpa pada orang yang melakukan khianat, malah ia turut memberi kesan yang buruk kepada orang yang dikhianatinya dan masyarakat sekelilingnya.
Sidang Jumaat Dan Umat Islam Yang Dikasihi Sekalian,
Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang Jumaat dan umat Islam sekalian bahawa harga dan nilai sebenar kemuliaan seseorang tidak terletak pada taraf kekayaan atau kebesaran pangkat seseorang. Nilai dan harga diri yang berdasarkan kekayaan atau pangkat adalah sementara sahaja. Bagaimanapun dalam Islam harga diri adalah berdasarkan ketakwaan dan keimanan seseorang. Sifat ketakwaan ini akan menentukan nilai dan harga diri seseorang itu mulia di sisi masyarakat dan Allah SWT sepanjang masa.
Rasulullah SAW pernah menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud:
“ Tidak mungkin berkumpul iman dan kufur dalam jiwa seseorang, dan juga tidak mungkin pula bersatu sifat jujur dan dusta padanya sekali gus sebagaimana tidak mungkin bersama sifat khianat dan amanah padanya dalam satu masa.” (Hadith Riwayat Ahmad).
Kesimpulannya, sifat ketakwaan dan keimanan wajib dihiaskan dalam setiap peribadi muslim, terutamanya para pemimpin, ketua jabatan, pekerja, ibu bapa dan anak-anak. Dengan itu, diharapkan tugas-tugas dan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik dan dapat memacu kecemerlangan dan menjamin kesejahteraan hidup di dunia. Sebaliknya jika sifat khianat yang menjadi budaya, maka ia adalah isyarat berbahaya yang hanya mengundang masyarakat dan bangsa ke arah kehancuran dan kebinasaan.
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab (Al-Qur'an) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu melalui wahyu-Nya; dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang yang khianat.” (an-Nisa:105)
petikan khutbah jumaat-JAKIM
06 November 2009
No comments:
Post a Comment