Friday, October 22, 2010

RAKYAT DIDAHULUKAN

“RAKYAT DIDAHULUKAN ”
(22 OKTOBER 2010 /14 ZULKAEDAH 1431H)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan ketakwaan yang bertanggungjawab melaksanakan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, yang membawa kita melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari Jumaat dan di atas masjid yang suci ini, memacu kita membentuk insan soleh, insan contoh yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “RAKYAT DIDAHULUKAN ”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Pemerintah atau Pemimpin negara merupakan barisan tertinggi dalam sesebuah negara. Pemerintah bertanggungjawab dan diberi amanah membimbing, mendidik, menjaga kemaslahatan dan kebaikan kehidupan rakyatnya dari segi kehidupan beragama, politik, ekonomi serta sosial.
Rakyat sebagaimana kepimpinan negara juga mempunyai kewajipan tertentu. Secara umum kewajipan rakyat adalah taat dan membantu pemerintah selagi kepimpinan negara tidak menyuruh melakukan maksiat kepada Allah. Dengan demikian apabila pemerintah dan rakyat melaksanakan tanggungjawab, amanah dan hak masing-masing dengan adil, maka kesempurnaan hubungan baik di antara kedua-dua pihak dapat dikekalkan.
Negara yang dikatakan baik ialah negara yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut, Pertama: Sentiasa berada dalam keampunan, lindungan dan pertolongan Allah SWT dari sebarang bentuk ancaman dalaman mahupun luaran, Kedua: Sentiasa dilimpah kurnia rezeki oleh Allah SWT dimana kurniaan tersebut dapat dinikmati oleh rakyat secara adil dan saksama dan Ketiga : Negara sentiasa berada dalam keadaan aman, damai dan suasana penuh harmoni, hasil dari kerjasama antara pemerintah dan rakyat kerana masing-masing memikul tanggungjawab menjaga, membangun dan memakmurkan negara selari dengan ajaran Islam.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian mimbar soal pengurusan harta dan kekayaan negara sering menjadi perbincangan utama di antara pemerintah dan rakyat kerana ia melibatkan urusan kemaslahatan dan kebajikan rakyat. Berdasarkan kedudukan harta negara inilah maka rakyat yang menjadi kumpulan terbesar dalam sesebuah negara, amat mengharapkan kepada kepimpinan negara agar dapat menaikkan taraf hidup, membantu mengeluarkan mereka dari penderitaan hidup dan menolong menyediakan tempat kediaman yang selesa untuk kediaman keluarga. Besar dan tinggi harapan rakyat kepada pemerintah, maka Islam memandang berat hubungan pemerintah dengan rakyatnya.
Pengurusan harta menjadi tumpuan setiap pihak kerana harta merupakan khazanah Allah untuk kegunaan manusia sejagat. Harta menjadi perhiasan hidup yang perlu diwaspada kerana walaupun dengan harta boleh meningkatkan ketakwaan seseorang. Harta juga boleh membawa seseorang itu ke lembah kebinasaan. Dengan harta manusia itu akan menjadi buta mata hatinya yang menyebabkan hilang pedoman hidup, menjejaskan integriti dan menjadi fitnah dalam kehidupan dirinya. Firman Allah SWT dalam surah at-Taghabun ayat 15:

Maksudnya: “Sesunggguhnya harta-benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan disisi Allah jualah pahala yang besar.

Islam menyeru umatnya mengurus harta secara bijak dan berhemah. Langkah mengurus harta secara berhemah dan berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kita kepada pemerintah selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran. Oleh itu mimbar menyeru berbelanjalah mengikut keutamaan, kemampuan dan janganlah membazir serta kawal nafsu agar tidak berbelanja berlebihan dan sentiasa bersederhana.Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud : " Hai anak adam! Jika engkau memberi kelebihanmu, maka aku akan lebih baik untukmu, maka jika engkau menahannya akan berbahaya bagimu, Engkau tidak akan tercela dengan kesederhanaanmu. "(Riwayat Muslim)

Sifat boros dan membazir adalah ciri-ciri kekufuran hamba kepada Allah SWT. kita perlu mengawal keinginan nafsu supaya tidak boros. Tindakan mengawal nafsu ini boleh dikategorikan sebagai jihad paling utama masa kini kerana kemewahan boleh menjadikan seseorang itu lalai dan menjadi kufur nikmat. Kita mengakui wang dan harta amat diperlukan bagi menampung keperluan keluarga, masyarakat dan negara. Namun, Islam menetapkan hanya pengumpulan harta yang bersih sahaja di kira sebagai ibadah dan beroleh pahala. Selain dari itu akan mendatangkan bencana dan dosa di sisi Allah SWT.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Bagi memastikan harta diagih secara adil dan saksama maka menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menguruskannya dan memastikan setiap harta itu dapat memberi manafaat kepada rakyat demi keselesaan serta kesejahteraan. Firman Allah SWT dalam surat al-Hadid ayat 7:
Maksudnya: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah sebahagian dari harta benda yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu); mereka tetap beroleh pahala yang besar.

Sebagai menunaikan tanggungjawab agihan kekayaan negara, maka Kerajaan telah menyediakan Bajet Negara 2011 sebanyak RM191.5 bilion. Dari jumlah ini RM138.3 bilion atau 72.2% diperuntukkan untuk belanja mengurus. Manakala RM 53.2 bilion atau 27.8% dibelanjakan untuk aktiviti pembangunan. Dalam bidang pendidikan misalnya kerajaan telah mengambil berat dengan memberi peruntukan RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran dan RM10.2 bilion untuk Kementerian Pengajian Tinggi. Iltizam kerajaan bagi memartabatkan pembinaan modal insan cemerlang terutama melalui pendidikan formal agama terserlah, apabila mencadangkan peruntukan sebanyak RM95 juta sebagai bantuan perkapita pelajar-pelajar Sekolah Agama Rakyat di peringkat sekolah dan menengah. Ini merupakan satu rahmat berganda kepada bidang pendidikan agama.
Berdasarkan kepada kesungguhan kerajaan dalam bidang pendidikan ini maka mimbar menyeru umat Islam dan ibu bapa sekalian, marilah sama-sama kita memperkasakan pendidikan anak-anak dengan memperuntukan pembelanjaan yang sewajarnya seperti menyediakan insuran pendidikan atau tabung pendidikan sendiri demi masa depan anak-anak kita malah sistem perbankan Islam juga menyediakan kemudahan tertentu untuk tabung pendidikan. Umat Islam perlu mencontohi kemajuan kaum-kaum yang lain dalam menyediakan simpanan khusus untuk kepentingan pendidikan anak-anak. Kerajaan juga prihatin dengan golongan kurang bernasib baik dengan memberi peruntukan RM1.2 bilion bagi mengatasi keluh resah dan kesukaran hidup yang dihadapinya.
Bajet 2011 juga mengambil berat tentang memperkasakan sistem perbankan Islam dan pusat pengeluaran produk halal di negara ini dalam usaha ke arah membebaskan secara beransur-ansur sistem riba. Mimbar amat yakin bahawa dalam kerajaan menyusun dan mengurus harta rakyat ini ianya dilaksanakan berdasarkan semangat Islam yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sempena pembentangan Bajet 2011, maka mimbar ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pihak Kerajaan terutamanya Perdana Menteri kerana telah menaikkan elaun Imam rakyat, Imam sukarela yang bertugas di masjid-masjid mukim/masjid di luar bandar dengan menaikkan elaun dari RM450 kepada RM750 sebulan yang melibatkan Imam seramai 14,252 orang di seluruh negara. Elaun guru-guru KAFA juga dinaikan daripada RM500 kepada RM800 sebulan yang melibatkan guru KAFA seramai 33,664 orang juga di seluruh negara. Komitmen baru kerajaan ini adalah sebagai salah satu cara untuk menyatakan penghargaan di atas jasa dan bakti para Imam dan guru KAFA dalam memimpin, mendidik dan membentuk masyarakat ummah di sekitar mereka.
Mimbar berkeyakinan penuh bahawa penambahan elaun ini akan meningkatkan lagi motivasi Imam dan guru agama dalam pengimarahan masjid dan pendidikan fardu ain, pengajian al-Quran kepada anak-anak kita. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7:
Bermaksud : " Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah, dan bagi kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta orang musafir. Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu. "

Saturday, October 16, 2010

TETAMU MASJID

“TETAMU MASJID”
(15 OKTOBER 2010 / 7 ZULKAEDAH 1431H)

Muslimin yang di Rahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “TETAMU MASJID ”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Pada asalnya masjid adalah tempat sujud, rumah Allah SWT. Tetamu yang datang mengunjungi masjid adalah mereka yang sanggup mengabdikan diri kepada Allah yang maha berkuasa dengan berjanji akan menjadi hamba Allah yang sentiasa taat kepada perintah-Nya. Masjid adalah salah satu daripada tanda wujudnya umat Islam di suatu tempat di muka bumi ini, kerana disinilah tempat pertemuan dan merupakan salah satu tanda perpaduan umat Islam. Disinilah juga wujudnya orang-orang yang bertakwa dan bersaudara. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 18:

Maksudnya: “Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

Masjid tidaklah dapat disamakan dengan tempat-tempat lain seperti rumah-rumah persendirian, gedung-gedung perniagaan atau pasar kerana tempat yang suci lagi mulia ini menjadi tempat orang Islam melakukan ibadah kepada Allah SWT. Ia juga adalah tempat kebajikan yang penuh dengan rahmat dan berkat. Syeikhul Islam Ibnu Taimiah pernah menyebut di dalam kitabnya yang terulung, Majmu`at al-Fatawa bahawa: Salah satu tempat penyatuan dan perkumpulan yang strategik untuk umat Islam ialah masjid dan sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mengasaskan Masjid Nabawi dengan menerapkan nilai takwa sebagai paksinya.


Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Memandangkan tempat ini mulia, maka kita sebagai tetamu masjid perlulah memelihara kemuliaan dengan menjaga sopan santun, sentiasa bertatatertib dan memelihara adab-adab ketika memasuki dan berada di dalamnya. Antara adab-adab tersebut ialah, Pertama: Ikhlaskan niat ketika pergi kerana Allah SWT. Kedua: Sebelum pergi hendaklah bersuci dari hadas, mandi sunat, mengambil wuduk, berpakaian menutup aurat, disunatkan memakai pakaian yang baru dan berwarna putih serta berwangi-wangian. Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: Sesiapa yang mengambil wuduk di rumahnya dan di perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi ke masjid, maka dia adalah tetamu Allah dan menjadi kewajipan ke atas orang yang dilawati untuk memuliakan tetamunya.
Ketiga: Sentiasa tenang, tidak tergopoh gapah, sentiasa tawadhu’ dan khusuk ketika kaki melangkah ke masjid. Di riwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda

dengan maksudnya: Jika kamu terdengar iqamat, maka berjalanlah kamu ke tempat solat dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gapah. Apa yang kamu sempat, maka solatlah dan apa yang kamu tertinggalkan maka sempurnakanlah.
Keempat: Dalam perjalanan memperbanyakkan zikir, takbir, tasbih, tahmid, tahlil dan selawat. Kelima: Membaca doa-doa yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW ketika memasuki masjid dan ketika berada di dalamnya serta memberi salam kepada malaikat yang menjaga rumah Allah. Keenam: Menunaikan sembahyang sunat tahiyatul masjid, melakukan iktikaf, berdiam diri iaitu tidak membuat bising, tidak bercakap-cakap, tidak membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan keduniaan, tidak melakukan sesuatu tidak baik yang mengotorkan kesucian dan merosakkan kehormatan masjid.
Dalam hadith Ka’ab bin A’jrah, Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: Jika kamu berada di dalam masjid, janganlah kamu membunyikan jari-jari kamu kerana kamu seolah-olah berada di dalam solat ketika kamu menunggu untuk menunaikannya. Ketujuh: Dilarang menjadikannya sebagai tempat laluan atau jalan melainkan sebagai tempat mengingati Allah dan tempat solat.
Rasulullah SAW menggesa umatnya agar cintakan masjid supaya dapat menyelamatkan diri dan mendapat perlindungan Allah SWT pada hari kiamat. Mereka yang sentiasa mengunjungi masjid dengan tujuan beribadat dan mendapat keredhaan Allah SWT akan memperolehi ganjaran yang besar iaitu syurga serta menjadi bukti tentang keimanan pada hari akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Sesiapa yang pergi ke masjid di waktu pagi dan petang, Allah SWT menyediakan untuknya sesuatu hidangan yang biasa diberikan kepada tetamu di syurga bagi setiap kali ia pergi ke masjid samada pagi atau petang. ( Riwayat al-Bukhari)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar merasa bimbang dengan suasana akhir-akhir ini dengan ada segelintir masyarakat yang kurang beradab ketika mengunjungi masjid. Mereka tanpa segan silu tidak menghormati kesucian dengan melakukan perbuatan keji seperti mencaci, memfitnah dan melontarkan tohmahan, memburuk-burukkan peribadi orang lain serta mendedahkan keaiban saudaranya. Lebih malang lagi ada yang membenarkan orang bukan Islam memberi ucapan berbau politik di dalam masjid. Perbuatan menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran fitnah, fahaman individu dan politik kepartian bertentangan dengan roh Islam. Allah SWT secara tegas menempelak sikap golongan munafik yang cuba menjadikan masjid ini sebagai alat perpecahan menerusi firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 107:

Maksudnya: “Dan orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan, dan menguatkan keingkaran, serta memecah-belahkan perpaduan orang yang beriman, dan untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah kami kehendaki melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.)
Justeru itu menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan sidang Jumaat dan umat Islam sekalian bahawa kunjungan kita ke masjid hendaklah atas dasar ketakwaan kepada Allah SWT. Dengan itu hendaklah kita menjaga adab-adab,tatatertib, tingkah laku , perbuatan dan percakapan kita semasa berada di tempat yang mulia ini. Mereka yang hadir ke masjid atas tujuan untuk memecah-belahkan umat Islam serta memburuk dan mencemarkan imej Islam adalah dilarang dan boleh disamakan dengan golongan musyrik yang tidak layak memakmurkan masjid ini.
Mimbar menyeru, marilah sama-sama kita menjaga kesucian masjid ini dengan mengelakkan diri dari melakukan kekotoran samada dalam bentuk zahir ataupun batin. Mimbar cukup yakin unsur-unsur kekotoran,kebusukan batin dan kata-kata nista yang jelas terlambang pada akhlak dan perangai sesetengah umat Islam itu sendiri tidak sesuai dibawa masuk ke dalam masjid kerana boleh mencemarkan nama baik sebagai institusi yang suci lagi kudus. Said bin Musayyab berkata: Sesiapa yang duduk di dalam masjid, bererti dia bertemu dengan tuhannya dan semestinya dia hanya berkata-kata dengan perkataan baik”. Mengakhiri khutbah pada minggu ini mimbar berpesan marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 108:

Maksudnya: “Janganlah engkau sembahyang di masjid itu buat selamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula lebih patut engkau sembahyang di dalamnya. Di sana ada lelaki yang suka membersihkan dirinya; dan Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka.)

Thursday, October 7, 2010

“BAHASA WAHANA PERPADUAN NEGARA”


(8 OKTOBER 2010 / 29 SYAWAL 1431H)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Sempena sambutan Bulan Bahasa kebangsaan, mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “BAHASA WAHANA PERPADUAN NEGARA”.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Di antara tanda kebesaran Allah SWT ialah menciptakan manusia berbagai-bagai bangsa dan bahasa. Setiap bangsa dikurniakan bahasa sebagai alat untuk berurusan di antara satu sama lain demi mencapai kesejahteraan hidup. Bahasa mempunyai medan yang luas untuk digunakan, sama ada untuk kebaikan atau kejahatan dan berperanan utama dalam pembinaan tamadun sesuatu bangsa. Kerana itulah masyarakat Melayu menganggap bahawa bahasa itu merupakan jiwa kepada sesuatu bangsa dan telah di ungkapkan dalam pepatah masyarakat Melayu seperti, “Bahasa menunjukkan bangsa, Bahasa jiwa bangsa”.
Agama Islam menyarankan umatnya berbahasa dengan bahasa yang terbaik kerana ia mencerminkan tahap keimanan dan ketakwaan seseorang. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25:
Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat.”
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam sejarah perkembangan tamadun Melayu-Islam, bahasa Melayu berfungsi sebagai tonggak dalam proses pembudayaan semula masyarakat. Walaupun sumber ajaran agama Islam dalam bahasa Arab namun, proses penyebaran ajaran Islam kepada masyarakat Melayu tidak menggunakan bahasa Arab. Dakwah Islamiah ke rantau alam Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai alat pengantara penyebaran ajaran Islam.
Kita amat menghargai perjuangan tokoh-tokoh ilmuwan dan agamawan Melayu tersohor seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf Singkel, Abdul Samad al-Falambani, Sheikh Daud al-Fatani, Arshad a-Banjari, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan lain-lain lagi yang telah mengarang dan menyebarkan pemikiran agama dengan menggunakan bahasa Melayu.
Kitab-kitab karangan mereka ini, kini telah menjadi sumber khazanah pemikiran umat Melayu-Islam. Hal ini jelas membuktikan betapa tahap dan kualiti pemikiran yang telah berjaya dicapai telah menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana penyebarannya. Peranan mereka dalam usaha mengungkapkan pemikiran dan ajaran Islam menggunakan wahana bahasa Melayu merupakan sumbangan teragung dalam pembentukan tamadun umat Melayu yang unik dan utuh hingga kini.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu disempurnakan melalui penggubalan undang-undang. Dalam perkara 152 mencatatkan bahawa Perlembagaan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara kita. Malah dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan. Dalam Akta Pendidikan pula menyatakan bahasa Melayu ialah bahasa pengantar utama di institusi pendidikan.
Apabila undang-undang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama di institusi pendidikan maka tugas untuk memperkasakannya hendaklah sama-sama kita dukung dengan mengambil langkah seperti berikut:
Pertama: Setiap warganegara Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul bersesuaian dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Kita hendaklah menjauhkan dari menggunakan bahasa rojak atau sekerat bahasa Melayu dan sekerat bahasa Inggeris.
Kedua: Bahasa Melayu hendaklah digunakan secara meluas di semua peringkat seperti urusan surat-menyurat, majlis-majlis rasmi dan mesyuarat hendaklah diadakan dalam bahasa Melayu. Semua papan tanda, iklan dan nama-nama kawasan perumahan juga hendaklah menggunakan bahasa Melayu.
Kita merasa bangga kerana bahasa Melayu telah dituturkan oleh lebih daripada 250 juta manusia dan telah menjadi salah satu bahasa yang ditawarkan untuk dipelajari di 118 institusi pengajian tinggi di dunia. Tujuan utama dasar ‘Memartabatkan Bahasa Melayu’ adalah untuk masyarakat menguasai bahasa Melayu pada tahap yang baik sehinggakan mereka ini boleh menggunakan bahasa tersebut untuk segala maksud bersesuaian dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama warga Malaysia dan bahasa ilmu. Mereka yang mahir berbahasa Melayu inilah yang akan memartabatkan bahasa Melayu dan memacu pembinaan sebuah negara bangsa yang bercitrakan ‘ 1Malaysia ’.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam membina tamadun ummah bahasa berperanan besar antaranya sebagai alat penyebaran agama dan dakwah, alat perpaduan, alat ekonomi dan alat pendidikan serta budaya. Sejarah membuktikan bahawa bahasa berperanan dalam penyebaran dan pengukuhan agama. Rasulullah SAW menganjurkan kepada para ilmuwan dan agamawan agar dalam usaha menyampaikan ajaran agama Islam kepada masyarakat, maka pengungkapannya hendaklah setimpal dengan kadar kemampuan berfikir masyarakat setempat. Tentulah, kadar kemampuan tersebut meliputi juga tahap dan keupayaan berbahasa.
Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi agama Islam menggalakkan umatnya menguasai bahasa asing. Dalam kitab Sahih Bukhari ada menyebut, setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda memerintah Saidina Zaid bin Thabit supaya mempelajari dua bahasa iaitu bahasa Sirianiah dan Ibriah( bahasa kitab Injil dan Taurat ). Saidina Zaid bin Thabit mempelajari kedua-dua bahasa tersebut dalam masa 12 hari sahaja. Sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya: “Dan telah memerintahkan Nabi SAW Zaid bin Thabit supaya mempelajari bahasa Suryani. (Riwayat Iman Ahmad)
Persoalannya kenapa Rasulullah SAW memerintahkan sedemikian? Ini kerana Rasulullah SAW mahu melihat dari kalangan umat Islam cendekiawan-cendekiawan yang dapat menguasai bidang-bidang ilmu lain yang menjadi nadi kekuatan umat. Keupayaan menguasai banyak bahasa menentukan umat Islam dapat mengelak dari tertipu dan terpedaya dengan umat-umat lain. Baginda ada bersabda kepada Zaid bin Thabit RA, “Wahai Zaid, pelajarilah tulisan Yahudi untukku, kerana sesungguhnya aku tidak mempercayai Yahudi itu untuk menulis suratku.”Zaid berkata, “Lalu aku mempelajarinya”.
Demikianlah juga kata-kata hukama’: 'Barangsiapa menguasai bahasa sesuatu kaum itu, maka dia akan terselamat dari tipu daya mereka'. Diriwayatkan juga bahawa Abdullah Ibn Zubair mempunyai 100 orang khadam yang berlainan bahasa, dan beliau berbicara dengan mereka dalam bahasa setiap seorang dari mereka.
Al-Quran telah menggunakan bahasa sebagai wasilah dakwah. Allah SWT menerapkan penggunaan bahasa yang agung dalam menyentuh hati manusia. Mereka yang mempelajari pendidikan al-Quran dan as-Sunnah tentang ayat Makkiyyah dan Madaniyyah tentunya memahami hakikat ini. Ayat al-Quran Makkiyyah menggunakan ayat-ayat pendek dan bersastera kerana penduduk Mekah kebanyakannya mahir berbahasa dan mampu menangkap maksud ayat yang diturunkan. Penduduk Madinah pula tidak sehebat penduduk Mekah dalam berbahasa maka ayat al-Quran Madaniyyah menggunakan ayat yang panjang-panjang untuk menerangkan sesuatu serta menggunakan bahasa jelas pada maksudnya. Penggunaan bahasa yang hebat ini bukan sahaja membuatkan manusia mudah menerima Islam, tetapi turut merangsang perkembangan pemikiran sehingga menjadi pemangkin kemajuan umat Islam.
Muslimin yang diRahmati Allah,
Mengakhiri khutbah ini marilah kita menginsafi bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab bersama. Justeru mimbar menyeru kepada semua pihak agar menyumbang tenaga dan fikiran untuk terus mengangkat martabat bahasa melayu ini agar ia menjadi bahasa agama, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa budaya kita. Dengan menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan tidak menghalang bahasa ibunda setiap kaum dituturkan serta tidak pula menyekat penggunaan bahasa lain, ia akan menghasilkan sebuah negara yang makmur, sejahtera serta disegani kawan dan lawan. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah Ali- Imran ayat 7:
Maksudnya:"Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran."

Friday, October 1, 2010

MANUSIA BERWAJAH SYAITAN

“MANUSIA BERWAJAH SYAITAN ”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan ketakwaan yang tidak main-main tetapi ketakwaan yang bertanggungjawab membawa kita memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah:“MANUSIA BERWAJAH SYAITAN”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Iblis adalah makhluk pertama yang menderhaka dan menentang hukum Allah SWT. Allah telah memerintahkan para Malaikat dan Iblis sujud kepada Nabi Adam AS sebagai menghormati manusia makhluk Allah yang paling mulia. Para Malaikat mematuhi perintah Allah tetapi Iblis terus ingkar dan menderhaka perintah Allah. Sejak penentangan itu, Iblis berikrar akan terus menderhakai Allah dan akan memujuk manusia menyertainya menentang perintah Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 121:

Maksudnya: “Dan sesunggguhnya Syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantahmu; dan jika kamu menurut hasutan mereka, maka sesungguhnya kamu tetap menjadi orang musyrik.”.

Menurut Ulama, Syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan kearahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun masih ada manusia yang menurutnya dan meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk rayu syaaitan.
Kerja Syaitan ialah Pertama: Mewas-waskan manusia dengan melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak kearah keburukan dan kekejian, kedua: Menjadikan pekara-perkara buruk kelihatan baik pada pandangan pengikut-pengikutnya sehingga manusia tidak nampak keburukan, ketiga: Melalaikan manusia daripada melakukan tugas-tugas dakwah dan menjauhkan manusia daripada mengingati Allah, keempat, Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk Syaitan.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Manusia yang berwajah Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, malah mendorong ke arah kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah SWT. Sayidina Ali RA berkata: “yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.” Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 21:
Maksudnya : "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh melakukan perkara yang keji dan yang mungkar.

Mereka yang dikalahkan oleh hawa nafsunya, kebatilan menguasai hati dan menyangka bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut dan bertopengkan Syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Manusia yang berwajah Syaitan licik memutarkan kata-kata, manis bibirnya, bijak melaksanakan program-program Syaitan. Antaranya dengan melakukan pujuk rayu , bisikan, tipu daya, fitnah dan kata-kata nista. Pujuk rayu merupakan bahagian terpenting dari seluruh langkah-langkah program Syaitan, kerana ianya tersembunyi dan boleh menimbulkan kesan negatif yang sangat merbahaya bagi manusia. Dengan pujuk rayu Syaitan akan menerbitkan perbuatan mencaci, mencela, mengutuk, mengumpat mengaib serta memutuskan hubungan Silaturrahim sesama insan. Lebih dari itu mereka ini sanggup melakukan apa saja seperti menipu dan membunuh.
Dalam usaha menjadikan manusia itu sebagai pengikutnya, maka sudah menjadi kebiasaan Syaitan melakukaan kefasadan, memusuhi anak Adam, mendatangi anak Adam dari sebelah kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Sentiasa mencari cari peluang untuk menghasut,menyesat dan menakutkan manusia.
Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam Neraka. Sayidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam Syurga dan menjauhkan daripada api Neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda:

Bermaksud: “Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan Syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)

Bagi menghindari dari Syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telingga, hati dan segala anggota, membuang amalan-amalan Syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya Syaitan.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar mengingatkan bahawa dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang bertopengkan Syaitan atau dengan kata lain menjadikan Syaitan sebagai saudara mereka. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kejadian pembunuhan manusia, penyeksaan sesama manusia, membunuh diri, menentang hukum Allah SWT dan melakukan kejahatan, kezaliman keatas makhluk-makhluk Allah adalah perbuatan yang dipengaruhi Syaitan. Mereka yang menjadikan Syaitan sebagai kawan atau idola akan sesat dalam kehidupan mereka. Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak mereka akan di azab dengan api neraka yang amat pedih.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung diri kita, dimanakah sebenarnya kedudukan kita, adakah dilandasan kebenaran atau masih lagi berada dijalan yang berliku yang penuh dengan duri-duri syaitan. Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menilik wajah kita agar ianya berseri-seri dengan amalan mulia di sepanjang kehidupan ini dan tidak bertopengkan wajah Syaitan. Akhir sekali marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21:

Maksudnya: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar