Tuesday, December 27, 2011

Kelebihan Qulhuwallah


Telah diriwayatkan oleh Anas ibn Malik ra., terdapat seorang lelaki dikalangan Ansar yang menjadi Imam di Masjid Quba, yang membaca surah al-Ikhlas pada 2 rakaat pertama solatnya. Apabila ditanya oleh baginda saw, dia menjawab “Aku mencintainya”. Maka Baginda pun berkata :حبك إياها أدخلك الجنة”Cinta kamu membenarkan kamu memasuki Syurga” [Hadith riwayat al-Bukhari]


Satu ketika Rasulullah SAW melihat jenazah seorang sahabat. Sebelum bergegas melakukan sembahyang jenazah, Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat: “Apakah dia mempunyai tanggungan hutang?”. “Ya, sebanyak empat dirham,” jawab sahabat. “ Saya tidak akan sembahyang seseorang yang mati membawa hutang empat dirham,” perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat. Selang tak berapa lama, Malaikat Jibril mendatangi Rasulullah SAW. “Muhammad, Allah SWT menyampaikan salam kepadamu dan berfirman, ’Aku telah mengutus Mikail dalam rupa bentuk manusia dan membayarkan hutangnya’. Jadi, sembahyangkanlah jenazah itu, orang ini telah diampuni. Dan, sesiapa yang menyembahyangkannya, maka dia akan diampuni”. Nabi akhirnya bertanya kepada Malaikat Jibril: ”Dari mana dia mendapatkan penghormatan ini?”. Kerana keistikamahannya (berkekalan) membaca surat al-Ikhlas seratus kali setiap hari. Istikamah dalam beramal Sabda Rasullah SAW: “Wahai manusia, laksanakanlah amalan-amalan menurut kemampuan kamu, sesungguhnya Allah SWT tidak akan bosan sebelum kamu merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah SWT ialah amalan yang ringan namun berterusan (istiqomah).” (Hadith Riwayat Muslim).

Daripada Aisyah r.a. katanya, bahawa Nabi s.a.w. menjadikan tikar anyaman pelepah tamar sebagai dinding pada waktu malam, lalu ia bersembahyang. Pada waktu siang ia menghamparkan tikar itu dan duduk diatasnya. Orang-orang datang berkumpul kepada Rasulullah s.a.w. lalu mereka bersembahyang sepertinya. Hingga kemudiannya bilangan mereka menjadi ramai. Rasulullah datang menemui mereka dan bersabda,”Wahai manusia, buatlah amalan setakat yang kamu mampu. Bahawasanya Allah tidak jemu sehinggalah kamu berasa jemu dan sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang berkekalan sekalipun sedikit.” (Riwayat Bukhari)

Tuesday, December 6, 2011

Asal Usul Bubur Asyura

10 Muharram adalah Hari Asyura. Antara tradisi orang Melayu turun temurun apabila tiba tarikh ini ialah membuat bubur Asyura. Bubur Asyura ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena 10 Muharram. Ada yang mengatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurang dan jangan dilebih. Jika tidak, ia tidak dinamakan bubur Asyura. Entah dari mana sumbernya saya tidak tahu. Yang pasti, sudah 10 tahun saya tidak merasai keenakan makan bubur Asyura di kampung. Mengimbau zaman kanak-kanak di hari Asyura, masih teringat apabila bubur Asyura hampir masak, saya bersama adik-adik dan rakan-rakan, masing-masing dengan memegang tempurung kelapa menyerbu kawah yang berisi bubur yang masih panas. Satu nostalgia yang tidak dilupakan, makan bubur Asyura berpiringkan tempurung dan bersudukan daun kelapa. Waktu itu, tidak pernah terlintas di fikiran saya sempena apakah dibuat jamuan bubur Asyura. Adakah ia satu amalan keagamaan atau sekadar adat bangsa? Sehingga apabila masuk ke sekolah menengah dan mendapati jamuan bubur Asyura dijadikan upacara tahunan yang dianjurkan oleh pihak Sekolah. Dengan sedikit kajian ringkas tentang asal-usul bubur Asyura dalam masyarakat Melayu, mungkin boleh dikatakan kewujudan jamuan bubur Asyura dalam masyarakat Melayu bertitik tolak dari dua sandaran.

Pertama: Cerita Bahtera Nabi Nuh a.s. Banyak laman web menyebut tentang kisah ini. Dinukilkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura’, maka berkatalah ia pada umatnya : “Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”. Penilaian: - Cerita seperti ini perlu kepada kajian. Dari manakah sumbernya dan apakah taraf kedudukan kisah ini. Setakat ini saya tidak menemui sebarang petunjuk tentang kisah ini dalam sumber hadis dan atsar. Sesiapa yang menjumpainya, diharap dapat membantu. - Jika kisah ini sahih sekalipun, dan kita menerima kaedah ‘Syarak sebelum kita adalah syarak kita juga’, persoalannya adakah makanan yang dibuat oleh Nabi Nuh a.s. adalah satu bentuk jamuan sempena 10 Muharram, atau ia adalah makanan biasa yang berkebetulan pada tarikh 10 Muharram? - Jika benar kisah ini, dan betul istinbat orang Melayu bahawa disunatkan membuat bubur berdasarkan cerita ini, mengapa tidak ada anjuran daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam atau amalan para sahabat tentang perkara ini?

Kedua: Hadis Galakan Memberi Keluasan Kepada Keluarga Mungkin sandaran lain bagi jamuan bubur Asyura ialah hadis-hadis tentang memberi galakan supaya pada hari Asyura hendaklah menghulur dan berkongsi kesenangan dengan kaum keluarga. Hadis yang dimaksudkan ialah: “Sesiapa memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan memberi keluasan kepadanya sepanjang tahun itu”. Mungkin kerana mempercayai kelebihan dalam hadis ini, sesetengah orang Islam mahu memberi keluasan kepada kaum keluarga pada hari 10 Muharram, dengan harapan Tuhan akan mempermudahkan rezekinya sepanjang tahun tersebut. Antara bentuk memberi keluasan ialah mengadakan jamuan makanan. Cuma kedudukan hadis ini di sisi ulama hadis adalah paslu atau dhaif. Rujuk: Al-Maudhu’aat oleh Ibn Jauzi 2/572, Al-Manar al-Munif oleh Ibn Qayyim 1/111, Al-Fawaid al-Majmu’ah oleh Syaukani 1/98. Sekali lagi kita terpaksa terima bahawa jika sandaran mengadakan jamuan bubur Asyura ialah hadis ini, sebenarnya ia adalah hadis yang tidak sahih. Jangan terlalu mengharap kepada fadhilat yang belum pasti kesahihannya. Cuma, membuat bubur Asyura itu kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Asyura, buatlah bubur Asyura. Tetapi elakkan kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda. Wallahu A’lam.