Tuesday, January 24, 2012

Aktiviti Masjid: Ceramah Peluang Perniagaan daripada Jemaah Group



Tuan Nazir menjadi pengerusi majlis pada malam itu

Ustaz Mohd Shah Rizan Ibrahim bersedia sebelum ceramah

Para ahli kariah mengambil tempat sebelum ceramah dimulakan

Bertempat di perkarangan masjid, pada 22 Januari 2012, Jemaah Group menyampaikan satu ceramah peluang perniagaan kepada ahli kariah yang berpotensi menjadi produk utama dalam penjagaan kenderaan diberi nama Super Miracle Plus, produk berteknologi tinggi yang berasal dari Korea Selatan. Pihak masjid mengucapkan terima kasih kerana inilah masjid pertama dalam daerah Kuala Pilah yang dipilih oleh Jemaah Group untuk pendedahan peluang perniagaan ini. Sambutan yang diberikan oleh ahli kariah adalah baik dan menggalakkan. Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan Jemaah Group, bolehlah layari http://jemaahgroup.com 

Monday, January 23, 2012

Kuliah Subuh: Pembentukan Akhlak dan Jiwa

Pada 22 Januari lalu, Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Ustaz Haji Norazamil bin Haji Alias dapat meluangkan masa bersama ahli kariah untuk menyampaikan kuliah subuh yang bertajuk pembentukan jiwa dan akhlak. Antara intipati kuliah yang dapat dicatat ialah: - kecenderungan untuk berbuat baik sudah wujud dalam diri manusia sejak ia diciptakan. - manusia boleh menjadi makhluk Allah yang paling tinggi berbanding malaikat dan boleh juga menjadi paling rendah berbanding haiwan. - ada dua jenis akhlak iaitu akhlak insaniah dan akhlak Islamiyah. - Islam datang bertujuan menjaga maqasid as syariah iaitu agama, akal, harta, nyawa dan keturunan. - Pada hari ini ramai manusia tidak peduli halal dan haram dengan bertuhankan hawa nafsu. - Perkara yang akan memberatkan timbagan manusia di hari kiamat ialah akhlaknya. - apa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad S.A.W ialah implementasi apa yang ada dalam al-Quran, melalui perkataan dan perbuatannya. - Maksud ini terkandung dalam kata-kata Aisyah berkaitan akhlak Rasulullah saw yang bermaksud : “Akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran.” - Orang yang beragama maksudnya orang yang mempunyai kemuliaan akhlak. - Baginda S.A. W pernah ditanya “Apakah kecelakaan itu?” Baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “(Kecelakaan itu) ialah akhlak jahat.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Sunday, January 22, 2012

Kuliah Ustaz Arshad: Kelebihan-kelebihan Wuduk

Pada 20 Januari 2012, kuliah agama bertajuk Kelebihan-kelebihan Wuduk disampaikan oleh Ustaz Arshad. Selama ini penulis sendiri tidak mengetahui terdapat banyak kelebihan mengambil wuduk dengan sempurna. Antara kelebihan-kelebihan wuduk yang dapat dirumuskan ialah:
1 – Sebahagian Dari Iman Diriwayatkan daripada Abu Malik al-Ash’ari radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman...” (H/R. Muslim, no. 223)
2 – Wudhu’ Yang Sempurna Menghapuskan Dosa Pengambilan wudhu’ yang sempurna bukan sahaja menjamin diterimnya solat tetapi ianya juga dapat menghapuskan dosa-dosa selagi tidak melakukan kesyirikan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwudhu’ maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwudhu’ ia bersih dari dosa-dosanya”. (H/R. Muslim, 1/148) “Barangsiapa yang berwudhu’ seperti ini (seperti wudhu’nya Rasulullah), diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu dan solat serta perjalanannya ke masjid adalah dipenuhi pahala”. (H/R. Muslim, 3/113) “Dari Abi Umamah radiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: Apabila seseorang muslim berwudhu’ maka akan keluar dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan (diampunkan) dosa-dosanya”. (H/R. Ahmad, 5/252. Hadis Hasan: Lihat Jami’ as-Saghir, No. 461)
3 – Wudhu’ Mengangkat Darjat Manusia Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: “Ya, wahai Rasulullah”. Maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda: “Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu’ walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya)…” (H/R. Muslim, no: 253)
,p>4 – Wudhu’ Dapat Membuka Pintu Ke Syurga Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Tiada seorang pun dari kalian yang berwudhu’, lalu ia menyampaikan atau meratakan wudhu’nya, kemudian dia mengucapkan: “Asyhadu alla ilaha illallah wa anna Muhammadan ‘Abduhu wa Rasuluh”, melainkan dibukalah untuknya pintu syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu mana pun yang dia kehendaki.” (H/R. Muslim, no: 234),
5 – Wudhu’ Memberi Cahaya Di Akhirat Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda: “Perhiasan-perhiasan di syurga itu sampai di tubuh seorang mukmin, bersesuaian dengan anggota yang dicapai oleh wudhu’.” (H/R. Muslim, no: 250)
6 – Wudhu’ Dapat Membuka Ikatan Syaitan Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau meriwayatkan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “…sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu’ pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu’, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas”. (H/R. al-Bukhari, no: 1091)

Sunday, January 15, 2012

Pengajian Kitab Minhajjul Abiddin oleh Ustaz Haji Mohd Ali

Pada 14 Januari 2012, bermulalah sesi pertama pengajian Kitab Minhajjul Abidin di masjid ini yang disampaikan oleh Ustaz Haji Mohd Ali Bin Tajid, bekas Pengetua Maahad Ahmadi Gemencheh, Negeri Sembilan. Sesi pertama ini dimulakan dengan membaca mukaddimah kitab tersebut daripada awal sehingga tamat. Walaupun sekadar mukaddimah kitab, banyak perkara disentuh oleh penceramah dengan mengaitkan situasi kehidupan pada masa kini.

Antara intipati yang dapat diambil daripada kuliah pertama ini ialah: - kitab ini merupakan kitab terakhir karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali - dalam kita melakukan ibadah, terdapat halangan-halangan yang akan kita hadapi - kita ada dua dunia; dunia sebenar dan dunia akhirat - manusia diciptakan dengan kemampuan untuk beribadat kepada Allah SWT - setiap perbuatan seseorang sentiasa akan dicatat oleh malaikat kecuali 3 golongan iaitu orang gila, kanak-kanak, dan orang yang sedang tidur.

Pihak masjid merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian Ustaz Hj Mohd Ali meluangkan masa berkongsi ilmu dengan ahli kariah. Di harapkan pengajian kitab ini akan disambung sehingga tamat para sesi-sesi berikut yang akan datang. Para ahli kariah diharapkan supaya dapat hadir untuk mengutip khazanah mutiara ilmu yang tertulis di dalam Kitab Minhajjul Abidin, Imam al-Ghazali.

Thursday, January 12, 2012

WAKAF DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH




WAKAF DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH
Oleh: Hj. Mohd Nazri Chik
Institusi wakaf semakin diberi perhatian dewasa ini lantaran kesedaran tentang kepentingannya sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam.
KONSEP WAKAF
Terminologi wakaf berasal daripada perkataan Arab “waqafa” yang bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah, wakaf telah diberikan beberapa takrif seperti:
1. Syed Sabiq (Fiqh al-Sunnah) – Wakaf ialah menahan harta dan memberikan manfaatnya pada jalan Allah.
2. Sahiban Abu Hanifah; Abu Yusuf dan Muhammad bin Hassan – Wakaf ialah menahan ‘ain mawquf (benda) sebagai milik Allah atau pada hukum milik Allah dan mensedekahkan manfaatnya ke arah kebajikan dari mula hingga akhirnya.
3. Dr. Muhammad Al-Ahmad Abu Al-Nur, bekas Menteri Wakaf Mesir – Wakaf ialah harta atau hartanah yang ditahan oleh pemiliknya sekira-kira dapat menghalang penggunaannya dengan dijual atau dibeli ataupun diberikan sebagai pemberian dengan syarat dibelanjakan faedahnya atau keuntungannya atau hasil mahsulnya kepada orang yang ditentukan oleh pewakaf.
Takrif-takrif di atas telah menunjukkan kedudukan wakaf sebagai sebahagian daripada amalan yang dianjurkan oleh Syariah sebagaimana firman Allah SWT:
“Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (pahala) bagi setiap yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (Kurniaannya) lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: Ayat 261)
Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya.”
(Hadith Riwayat Muslim)
Istilah wakaf adalah berkait dengan infaq, zakat dan sedeqah. Ia adalah termasuk dalam mafhum infaq yang disebut oleh Allah sebanyak 60 kali dalam al-Quran. Ketiga-tiga perkara ini bermaksud memindahkan sebahagian daripada segolongan umat Islam kepada mereka yang memerlukan. Namun, berbanding zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan sedeqah yang menjadi sunat yang umum ke atas umat Islam; wakaf lebih bersifat pelengkap (complement) kepada kedua-dua perkara tersebut. Disamping itu, apa yang disumbangkan melalui zakat adalah tidak kekal dimana sumbangannya akan digunakan dalam bentuk hangus, sedangkan harta wakaf adalah berbentuk produktif iaitu kekal dan boleh dilaburkan dalam pelbagai bentuk untuk faedah masa hadapan.

dipetik daripada 

Ceramah Ustaz Hamid: Pengenalan Kepada Wakaf Dalam Islam








Pada 10 Januari 2012 yang lalu, suatu Kuliah Maghrib diadakan mengisi salah satu jadual kelas pengajian Masjid Kariah Kampung Pauh. Kuliah ini disampaikan oleh Ustaz Hamid dari Juasseh, Kuala Pilah. Kali ini beliau berkongsi dengan para jemaah berkenaan dengan Wakaf Dalam Islam. Antara yang dapat dirumuskan daripada kuliah Maghrib yang disampaikan oleh beliau ialah;
a) Wakaf ialah sebahagian amalan yang amat dianjurkan dalam Islam
b) Harta yang diwakafkan boleh berbentuk hartanah atau bukan hartanah (benda dll)
c) Tujuan wakaf ialah untuk manfaat umat Islam dan agama Islam.
d) Tidak sah wakaf untuk tujuan maksiat dan keburukan
e) Syarat sah wakaf seorang mestilah; baligh, merdeka, waras akal, berkemampuan.
f) Antara amalan yang banyak dilakukan oleh orang-orang tua kita dahulu; spt. wakaf tanah untuk masjid, surau, tanah perkuburan, sekolah agama dll.
g) Wakaf berbeza daripada faraid
f) Antara amalan yang tidak putus pahala untuk orang yang telah meninggal dunia ialah sedekah, amal jariah (termasuk wakaf).

Pihak MKKP mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hamid di atas kesudian hadir memberi kuliah ini. Di harapkan kuliah ini dapat disambung lagi kerana masih banyak perkara menarik berkenaan wakaf untuk dibincangkan.

  

Thursday, January 5, 2012

JADUAL KELAS FARDU AIN MASJID KG PAUH JANUARY 2012



Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan dan ilmu yang paling utama ialah ilmu aqidah kerana aqidahlah yang menentukan masa depan akhirat kita.


Dalam kebanyakan hadis, orang yang mengajar dengan orang yang belajar adalah sama kelebihannya kecuali : Malaikat melebarkan sayapnya ke atas orang yang belajar ilmu agama yang ikhlas kerana Allah. Orang yang belajar hendaklah mengamalkan apa yang telah dipelajarinya (amal lah apa yang betul, dan tinggalkan apa yang tidak betul iaitu yang dibuat semata-mata kerana ikut-ikutan).

Sesiapa yg pergi mencari ilmu, maka Allah akan membuka pintu syurga untuknya, dan malaikat akan menghamparkan sayapnya untuknya, dan para malaikat serta ikan-ikan di lautan mendoakan untuknya (Riwayat Abu Daud).

Sesungguhnya Allah, para malaikat, isi langit dan bumi, hinggakan semut di dalam lubang dan ikan dalam laut, semuanya mendoakan kepada orang yang mengajar manusia (Riwayat At-Turmizi).

Orang yang mengajar kebaikan, segala sesuatu (segalah-galanya), sehingga ikan-ikan yang ada di dalam laut akan memintakan keampunan baginya (Riwayat Jabir).

Kebaikan yang dimaksudkan ialah ilmu agama yang betul (perkara-perkara yang dibolehkan atau yang tidak dobolehkan, halal, haram) kerana tiada ilmu yang lebih baik selain daripada agama. Segala sesuatu misalnya pokok, batu dan sebagainya mendoakan keampuan bagi orang yang mengajar, begitu juga orang yang belajar , juga diampunkan dosa mereka.

Sesungguhnya orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Orang yang berilmu lebih tinggi makamnya (kedudukannya) di sisi Allah. Allah memberi pahala yang lebih kepada amalan orang yang berilmu berbanding mereka yang tidak berilmu.

Az-Zumar [9] : (Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Al-Mujaadilah [11] : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (11)

Wednesday, January 4, 2012

Hukum Penggunaan Gitar Dalam Islam


Sebagai pengenalan, perlu diingatkan bahawa asal sesuatu hukum adalah harus. Namun, ia boleh berubah menjadi haram atau dibolehkan mengikut dalil yang menyokongnya.

Nyanyian adalah diharuskan bagi golongan yang pertengahan(orang yang tidak dikuasai rasa cinta asyik yang mendalam terhadap Allah dan tidak juga dikuasai oleh hawa nafsu yang memuncak). Hal ini kerana, bagi orang yang terlalu asyik dengan Allah, nyanyian adalah baik untuknya manakala bagi orang yang mudah terpengaruh dengan desakan hawa nafsu, nyanyian adalah haram untuknya.
Namun demikian, jika nyanyian dijadikan sebagai kebiasaan sehingga banyak waktunya dihabiskan untuk itu, maka dia tergolong dalam kalangan orang bodoh yang kesaksian mereka ditolak.
Mengenai hukum penggunaan gitar dalam Islam, Imam Al-Ghazali menganggap bahawa alat muzik yang dipetik dengan tali(autar) dan yang ditiup dengan mulut(mazamir) adalah sebahagian daripada punca pengharamannya. Beliau beranggapan sedemikian kerana berasaskan kepada kenyataan bahawa ada dalil syarak yang telah melarangnya.

Hujah yang telah beliau kemukakan adalah :

Syarak tidak mengharamkannya(alat-alat muzik tersebut) kerana zat alat itu sendiri. Sebabnya ialah, jika ia diharamkan kerana keseronokan yang ada padanya, nescaya semua benda lain yang menjadikan manusia merasa seronok juga tidak boleh.
Akan tetapi yang diharamkan itu ialah arak. Oleh kerana pada ketika itu orang ramai pada mulanya sudah begitu ketagih dan sukar untuk membuang tabiat tersebut, mereka terpaksa memecahkan tong-tong arak dan sebagainya. Justeru, setiap apa yang menjadi lambang dan simbol kepada peminum arak juga diharamkan iaitulah autar dan mazamir.
Pengharaman kedua-dua alat ini adalah ekoran daripada hukum pokoknya iaitu arak. Hukum haramnya sama lah seperti hukum berkhalwat dengan wanita ajnabi kerana mengikut hukum pokoknya iaitu zina.

Kerana perbuatan khalwat ini adalah gerbang dan mukaddimah ke arah maksiat keji tersebut.

Oleh itu, alat muzik autar dan muzamir ini diharamkan ekoran daripada pengharaman arak dengan 3 sebab:

1.Muzik tersebut merangsang orang yang mendengar untuk meminum arak. Dan dengan meminum arak itu pula,perasaan seronok mendengar alat muzik itu tadi akan menjadi lebih memuncak.

2.Bagi seseorang yang baru berhenti minum arak pula, mendengar alat muzik ini akan menggamit ingatannya kepada sejarah silam iaitu tentang tempat dan pesta minumnya dulu. Ingatan ini akan membangkitkan rasa rindunya dan seterusnya akan membawanya semula ke tabiat lama.

3.Berhimpun dan berkumpul mendengarnya adalah menjadi adat kebiasaan golongan fasik. Sepertimana yang kita sedia tahu, Kita dilarang menyerupai golongan fasik. Ini kerana, “sesiapa yang menyerupai sesuatu puak atau golongan yang negatif, maka dia akan dianggap sebahagian daripada golongan tersebut.”

Setelah Imam Al-Ghazali membuat huraian tersebut, beliau kemudian menyatakan:

Dengan ini jelaslah bahawa sebab pengharamannya bukanlah kerana ia sesuatu yang baik dan menyeronokkan. Sebaliknya, rumusan yang diperolehi melalui sumber syarak membuktikan bahawa semua perkara yang baik adalah halal kecuali jika ia membawa kerosakan kepada manusia.

Bersesuaian dengan firman Allah,

“katakanlah(wahai Muhammad): Siapakah yang (berani ) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezki yang dikurniakanNya?”
(Al-A’raf:32)


Kesimpulan

Segala apa yang telah diterangkan diatas merupakan hujah yang telah dikemukakan oleh Imam Al-Ghazali bagi menjelaskan sebab beliau mengharamkan penggunaan alat muzik yang bertali dan yang ditiup dengan mulut.
Hakikatnya, tiada satu nas(hadis) pun yang sahih dan jelas melarang penggunaan alat muzik ini. Namun begitu, beliau (semoga Allah meredhainya) telah menerima hadis-hadis yang diriwayatkan dalam isu ini dengan dada yang terbuka dan kemudian beliau cuba menafsirkannya sepertimana yang telah dihuraikan di atas.
Jika beliau meneliti dengan lebih mendalam mengenai sanad-sanad hadis yang diriwayatkan itu, tentu beliau tidak perlu bersusah payah mencari sebab musabab kepada hukum haram alat-alat muzik tersebut . Namun begitu, apa yang beliau sebutkan ini amat berguna bagi orang yang tidak menerima hakikat bahawa hadis-hadis tersebut adalah dhaif. Semoga Allah memberkati usaha beliau.
Sekian. Sedikit perkongsian mengenai isu alat muzik di dalam Islam. Jika ada sebarang kekurangan atau kesalahan harap dapat diperbetulkan. Wallahua’lam.

RUJUKAN:


1.NYANYIAN DAN MUZIK MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AS-SUNNAH(CETAKAN PERTAMA:OGOS 2006), DR. YUSUF AL-QARDAWI.


Dipeitk dari perjalananjauh.wordpress.com