Monday, October 10, 2011

"KHURAFAT DAN TAHYUL MELEMAHKAN IMAN"



"KHURAFAT DAN TAHYUL MELEMAHKAN IMAN".

Khutbah Jumaat 23 September 2011 (dipetik dari laman web JAIS)

Umat Islam di Malaysia tidak dapat lari dari istilah khurafaat dan tahyul. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana khurafat itu sendiri berakar umbi sejak zaman jahiliah lagi. Pada zaman jahiliah, mereka yang ingin bermusafir akan melepaskan seekor burung. Jika burung itu terbang ke kanan, maka ia akan meneruskan musafir kerana ia membawa alamat baik. Tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, mereka akan menangguhkan pemergian kerana ditakuti akan ditimpa bala malapetaka.

Tahyul pula mempunyai hubungkait dan makna yang sama yang meliputi cerita-cerita yang mempersonakan dan bercampuraduk dengan perkara-perkara yang dusta. Untuk kita mengenali adakah ianya khurafat atau tidak adalah berdasarkan ciri-ciri berikut;

Pertama : Amalan yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak (al-Quran atau hadis Nabi saw.

Kedua : Mengandungi cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau karut.

Ketiga : Khurafat bersumberkan kepada kepercayaankepercayaan lama dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Keempat : Khurafat menggunakan objek-objek tertentu seperti keris, batu cincin, kayu koka dan sebagainya.

Kelima : Khurafat mempunyai unsur-unsur negatif dari segi akidah dan syariah.

Keenam : Khurafat berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus melalui kubur, patung, pokok dan sebagainya.


Khurafat adalah satu bentuk penyelewengan akidah. Ia menyalahi pergantungan manusia kepada pencipta-Nya iaitu Allah sebaliknya berpaling kepada makhluk yang dicipta Allah. Malah Al-Quran telah mengarahkan agar manusia bergantung kepada Allah dan menolak kepercayaan selainnya agar kita memperoleh kebaikan dan menolak keburukan.

Sesungguhnya mempercayai perkara khurafat dan tahyul akan menjadikan umat Islam semakin mundur, malas berusaha dan hanya berserah kepada takdir. Ini bertentangan dengan prinsip Islam yang menggalakkan umatnya berlumba lumba mencari kebaikan dan kejayaan. Kita akan menjadi umat yang ketinggalan dan hanya melihat kejayaan yang dicipta umat lain. Setiap bala bencana, musibah, terkurang dan terlebih rezeki adalah ketentuan Allah.

Marilah kita terus meningkatkan kefahaman Islam dengan memperkukuhkan akidah. Hadirkan diri ke majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau. Hindarkan diri kita daripada fahaman yang menyesatkan dan mengelirukan. Kembalilah kepada pegangan akidah yang sebenar supaya kehidupan kita di redhai oleh Allah di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment